top of page

Kerajaan arah siasat semula kehilangan Amri, Koh sesuai arahan mahkamah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

DS Saifuddin menyatakan perkembangan terbaharu kes Amri dan Koh di Dewan Rakyat
DS Saifuddin menyatakan perkembangan terbaharu kes Amri dan Koh di Dewan Rakyat

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan MADANI kekal komited untuk mencari kebenaran sekaligus menegakkan keadilan dalam kes melibatkan kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, siasatan semula kehilangan kedua-dua individu itu sudah dijalankan oleh pasukan penyiasat yang diketuai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP).


Beliau berkata, pasukan penyiasat itu akan meneliti beberapa laporan dan mendapatkan keterangan terbaru.


"Siasatan telah pun bermula dan mereka akan meneliti semua kertas siasatan awal, laporan SUHAKAM dan laporan pasukan petugas khas.


"Kita mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu pihak polis.


"Manakala pihak Peguam Negara telah pun membuat kenyataan untuk mengemukakan rayuan. Mengemukakan rayuan bukanlah satu yang asing, prinsip keadilan sejagatnya adalah pihak terlibat diberitahu pertuduhan, dibawa ke muka pengadilan, ada hakim bicara, diberi peluang untuk membawa peguam bela.


"Kalau satu keputusan telah dijatuhkan, dia masih ada hak untuk mengemukakan rayuan. Dalam kes ini, di mana kerajaan antara yang dinamakan sebagai defendan, maka penasihat undang-undang bagi kerajaan adalah Peguam Negara, meneliti ‘judgement’ atau penghakiman yang dibuat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Saifuddin menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh [PH-Ledang] yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan langkah seterusnya akan diambil kerajaan berhubung keputusan mahkamah melibatkan Koh dan Amri.


Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata, Peguam Negara berpendapat wujud asas untuk mengemukakan rayuan termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan komitmen kewangan.


"Ini bukan bermaksud kerajaan memandang rendah soal nyawa, hak dan kebebasan atau mengutamakan beban kewangan. Tidak sama sekali. Ini adalah atas prinsip menegakkan keadilan sejagat.


"Maka apabila penasihat undang-undang kerajaan, iaitu Peguam Negara, berpendapat ada asas untuk membuat rayuan, maka itulah yang mereka lakukan," katanya lagi.


Untuk rekod, Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Koh pada 13 Februari 2017.


Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.


Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.


Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page