Kerajaan akan anjur sesi taklimat kepada wakil kerajaan Sarawak
- Redzuan Shamsudin
- Mar 25, 2024
- 2 min read

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan sistem maklumat rakyat yang selamat dan dijamin tidak mudah ditembusi.
Sehubungan itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kebimbangan kerajaan Sarawak mengenai sistem PADU akan diselesaikan menerusi satu taklimat kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.
"Kerajaan akan sentiasa memastikan pengendalian data yang selamat, termasuk keselamatan sistem, rangkaian dan data yang melindungi maklumat peribadi.
"Saya memberikan jaminan dengan PADU, setiap rakyat akan menerima manfaat yang adil dan wajar melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik dan berkesan berpandukan data.
"Satu sesi taklimat akan dianjurkan kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan data dalam masa terdekat. Kementerian komited menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak," katanya dalam kenyataan.
Menurut Rafizi, kebocoran maklumat sangat sukar berlaku kerana PADU tidak sebagaimana sistem lain yang dibangukan dengan kerjasama swasta atau sepenuhnya swasta, sistem berkenaan dibangun seratus peratus oleh tenaga kepakaran kakitangan kerajaan.
"Sistem PADU dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa melibatkan lantikan perunding luar. Keputusan ini mengurangkan risiko kebocoran maklumat memandangkan pihak luar tidak mempunyai akses secara langsung kepada PADU.
"Bagi memastikan integriti data dan kebocoran data tidak dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada data, penilaian tahap integriti pegawai telah diambil kira melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO.
"Akses kepada data hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik dan terhad kepada peranan masing-masing sahaja. Aturan ini merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pengurusan sistem PADU," katanya.
Tambah Rafizi, maklumat rakyat dalam sistem PADU merupakan maklumat rasmi Kerajaan yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan tertakluk kepada semua arahan perlindungan keselamatan yang dikeluarkan oleh CGSO.
"Mana-mana perbuatan mengakses, memuat naik, memuat turun, meminda, menambah atau menyebarkan apa-apa data dalam PADU tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali
"Selain Akta 88, data termasuk peralatan komputer juga dilindungi di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] yang secara amnya menyatakan bahawa apa-apa akses, penggunaan tanpa kebenaran terhadap mana-mana peranti, maklumat (data) atau sistem komputer adalah satu kesalahan," katanya.
Sistem PADU dibangunkan dengan mengintegrasi pelbagai sumber data pentadbiran daripada lebih 400 agensi sektor awam, termasuk kerajaan negeri dan tempatan, serta GLC dan GLIC bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah. Sehingga 12 Mac 2024, PADU telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.
"Sepanjang proses pembangunan PADU, pelan risiko dan perlindungan keselamatan, serta melindungi data terperingkat daripada diceroboh dan bocor, sentiasa diberi keutamaan oleh semua pihak.
"Pasukan pembangunan PADU sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi.
"Sehingga kini, tiada isu kebocoran maklumat dilaporkan walaupun terdapat 2 hingga 2.3 juta kali cubaan serangan ke atas PADU dalam tempoh satu minggu. Pembangunan PADU juga mematuhi piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip amalan terbaik yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan terjamin," katanya.
Sehingga kini, kata Rafizi, PADU telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam kadar pendaftaran sepanjang minggu lalu.
Setakat 11:59 malam pada 24 Mac 2024, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta, daripada 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac 2024.
Comments