Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail menyifatkan kepimpinan partinya sentiasa bersikap tegas terhadap pengkhianat yang cuba merosakkan imej parti dan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Beliau berkata, KEADILAN kini mengambil pendekatan untuk bergerak ke hadapan dan tidak mahu lagi terikat dengan isu pengkhianatan terhadap parti itu.
Namun begitu, beliau percaya kepimpinan parti masih berhati-hati jika ada mana-mana ahli yang dijangka mengambil tindakan sedemikian selepas ini.
"Kepimpinan parti kini amat tegas dalam aspek disiplin dengan mengambil tindakan tertentu ke atas pihak terlibat," katanya.
Pada masa sama, beliau juga menyifatkan tindakan Datuk Dr Xavier Jayakumar keluar dari parti adalah tindakan individu dan tidak akan diikuti oleh KEADILAN Kuala Langat.
Malah, beliau mengakui telah mengadakan pertemuan dengan barisan jawatankuasa di kawasan itu dan mendapati ia masih kukuh serta bersedia untuk mengadakan mesyuarat agung.
"Pemergian beliau (Xavier) sebelum ini adalah merupakan tindakan individu dan saya rasa KEADILAN lebih matang dan kami tak terjejas," katanya.
Komentar