Dalam menyambut Tahun Baharu Cina kali ini, rakyat Malaysia perlu menekankan kepelbagaian budaya sebagai sesuatu yang perlu dijaga dan dibajai bagi mengekalkan keharmonian negara.
Hal itu ditegaskan dalam perutusan Tahun Baharu Cina oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.
Menurut beliau, saling meraikan budaya satu kaum dan lainnya merupakan tradisi rakyat Malaysia yang telah berlangsung sejak sekian lama.
"Tahun Baru Cina adalah perayaan yang penting dalam masyarakat kita. Ia mengingatkan kita kepada kepelbagaian kaum yang menjadi kekuatan utama masyarakat, lebih-lebih lagi apabila kita perlu bersaing dengan negara-negara lain.
"Seperti juga perayaan-perayaan lain dalam masyarakat, Tahun Baru Cina adalah cermin kepada budaya kita yang berasaskan satu unit keluarga.
"Cuti ini adalah masa yang terbaik untuk berkumpul dengan ahli keluarga yang tersayang dan meninggalkan tekanan seharian kita, supaya kita boleh mengingati setiap Tahun Baru Cina – umur kita semakin lanjut, masa kita dengan ibu bapa dan adik beradik juga terhad," katanya dalam catatan di Facebook.
Menteri ekonomi itu juga mencadangkan agar cuti Tahun Baharu Cina digunakan sebaik mungkin untuk bersama keluarga. Mengenal pasti anggota keluarga atau saudara mara yang memerlukan dan membantu mereka.
"Kerana harta kita yang sama rata ialah masa yang kita ada dengan ibu bapa, adik beradik dan keluarga tersayang.
"Gunakanlah harta itu sebaiknya untuk saling menyayangi ibu bapa dan mereka yang lebih tua, kerana mereka mungkin tidak bersama kita di Tahun Baru Cina yang seterusnya.
"Apabila umur saya sendiri semakin menghampiri 50an, saya sedar masa saya dengan ibu bapa semakin berkurangan.
"Oleh itu, jagalah ibu bapa kita sebaik mungkin sementara mereka masih ada dan gunakanlah perayaan seperti Tahun Baru Cina ini untuk menggembirakan mereka," katanya.
Justeru, Rafizi berharap Tahun Naga kali ini bakal memberikan kesenangan kepada semua dan semoga cita-cita rakyat Malaysia akan tercapai dalam tahun baru ini.
Dalam perutusan sama, beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakan rakan, pengundi dan masyarakat Tionghoa di parlimen Pandan.
Commenti