top of page

Kenyataan 'Mahkamah Syariah akan berkubur' tidak benar - Ketua Hakim Negara



Oleh: Helmi Mohd Foad


Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak kenyataan bahawa 'Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia' dan menyifatkan ia tidak benar.


Beliau menyatakan perkara itu ketika mengingatkan peguam yang terlibat dalam prosiding mencabar Perlembagaan oleh dua wanita beragama Islam terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 supaya tidak mengulas mengenai kes itu.


"Seperti yang telah kita nyatakan dari awal perbicaraan pada 17 Ogos, isunya bukan mengenai menjatuhkan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini.


"Isu yang timbul daripada petisyen itu hanyalah mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan," katanya memetik laporan Bernama hari ini.


Hakim Tengku Maimum berkata demikian bagi menjawab kenyataan peguam Mohd Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu bahawa adalah penting bagi seseorang untuk memahami cabaran kuasa Mahkamah Syariah sebelum ia terkubur seperti “batu nisan”.


"Tertakluk kepada apa sahaja jawapan yang ingin dibuat oleh Yusfarizal mengenai perkara ini, kami ingin mengingatkan peguam bahawa kamu terikat kepada etika profesion kamu dan tidak wajar untuk membincangkan kes yang belum selesai di forum awam, lebih-lebih lagi apabila telah gagal mendedahkan fakta penuh kes itu.


"Kami ingin mengingatkan semua di mahkamah ini khususnya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, dan tidak menghasut sentimen orang ramai. Kami menggesa peguam untuk menghujahkan kes berdasarkan isu di hadapan kami," kata beliau.


Tun Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan hari ini berkata mahkamah membuat pemerhatian kerana begitu banyak yang telah diperkatakan oleh ramai orang mengenai petisyen itu dan kebanyakan daripada apa yang diperkatakan adalah versi yang diputarbelitkan bagi isu sebenar di hadapan mahkamah.


Terdahulu Ketua Hakim Negara menyatakan mahkamah mengambil maklum permohonan pempetisyen berhubung beberapa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Yusfarizal.


Tun Tengku Maimun kemudian menyoal Yusfarizal sama ada telah membuat kenyataan seperti yang dipetik dalam afidavit pempetisyen yang peguam itu menjawab bahawa beliau perlu menyemak transkrip dan tidak pasti perkataan yang tepat yang digunakan.


Panel hakim yang dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais telah menetapkan hari ini untuk menyambung semula pendengaran petisyen kedua-dua wanita itu.


Pada 17 Ogos, mahkamah mendengar hujah peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman serta peguam Datuk Kamaruzaman Muhamad Arif yang mewakili kerajaan Kelantan.


Peguam kelahiran Kelantan dan anak perempuannya itu memfailkan petisyen untuk mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen tersebut.


Mereka mendakwa badan perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa dalam menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang membabitkan kesalahan yang sama.


Mereka memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.


Pada 30 September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kedua-dua peguam wanita itu memulakan cabaran mereka.


Hadir sama prosiding hari ini ialah peguam mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPK), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dibenarkan mencelah dalam kes itu sebagai amicus curiae (rakan mahkamah), Sisters in Islam, Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia dan Badan Peguam Malaysia mengemukakan penghujahan mereka.


Mahkamah menangguhkan keputusannya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.


Lebih 1,000 orang terutamanya penyokong Pas berhimpun di luar Istana Kehakiman seawal pukul 8 pagi hari ini bagi mengikuti perjalanan kes itu.


Pas sebelum ini memainkan naratif bahawa undang-undang jenayah syariah bakal lenyap dan dicabar secara terancang oleh musuh Islam.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page