top of page

Kenyataan KJ politik persepsi, bermotif peribadi?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 1 min read

Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Nurhidayah Che Rose (gambar) mengkritik kenyataan anggota UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) yang didakwa memainkan naratif politik berunsur persepsi dan kepentingan peribadi.


Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa kenyataan KJ sebagai tidak berprinsip serta berpotensi mengeruhkan hubungan antara parti dalam kerajaan.


"Kenyataan oleh Khairy Jamaluddin semakin jelas memperlihatkan politik persepsi yang cetek dan bermotif peribadi," katanya.


Menurutnya, usaha mempertikaikan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanya memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).


"Mempertikaikan hubungan PH-BN dengan naratif yang melaga-lagakan hanya menguntungkan PN.


"Ini bukan pendirian berprinsip, ini percaturan politik lama yang cuba dihidupkan semula," ujarnya.


Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata penyokong PH tidak harus terlalu 'berasa hati' dengan kenyataan KJ kerana beliau tidak mewakili pimpinan UMNO, sebaliknya bersifat individu.


"Setelah lama KJ tidak bersama UMNO, beliau tiba-tiba tampil seolah-olah membawa suara parti.


"Hakikatnya, ini bukan suara UMNO, ini suara individu yang sedang mencari ruang untuk kembali relevan," katanya.


Beliau turut menyifatkan tindakan mencetuskan konflik demi kepentingan politik sebagai tidak bertanggungjawab.


"Cubaan mencetuskan konflik dan kekeliruan rakyat demi populariti politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Malaysia tidak perlukan ‘batu api’ politik, rakyat perlukan kestabilan dan penyelesaian," tegasnya.


Untuk rekod, dalam satu temubual dengan media KJ mendakwa bahawa kerjasama antara PH dan BN adalah bersifat sementara mengambil ungkapan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa kerjasama Kerajaan Perpaduan diteruskan sehingga tamat penggal.


Kenyataan Khairy itu dikecam oleh pimpinan PH yang berkata beliau telah lama di luar UMNO dan bukan masanya untuk mengeluarkan kenyataan setelah diterima semula keahliannya tiga minggu lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page