Kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang ditujukan kepada Raja-Raja Melayu disifatkan sebagai biadap dan dilakukan dengan tujuan kepentingan politik
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, kenyataan Hj Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) melalui tulisan bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang sinis terhadap Raja-Raja Melayu itu sekadar mahu memperlihatkan seolah-olah hanya parti Pas memperjuang kepentingan kaum Melayu dan Islam.
"Inilah dia, memperjuang sesuatu yang sebenarnya tiada isu pun tapi diperjuang juga secara konsep kepartian untuk laba politik.
"Walhal sejak dari merdeka lagi, sudah jelas termaktub di dalam Perlembagaan soal Islam itu tidak boleh diganggu-gugat.
"Malah usaha memartabatkan syiar Islam, memperkasakan semua institusi berkaitan agama Islam itu sering dilakukan Raja-Raja Melayu termasuklah selepas penubuhan MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia)," katanya dipetik laporan Bernama.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Ahli Parlimen Marang itu.
Baginda bertitah ia adalah kenyataan yang amat tidak bersesuaian malah tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar ahli dan pemimpin politik tidak memperalat Islam dan mencemari kesucian agama itu demi kepentingan politik masing-masing.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata kenyataan Hj Hadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana tokoh politik itu pernah melakukan perkara serupa kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Dulu dia buat juga, (tetap beri ceramah) biarpun ketika itu Sultan Mizan dukacita, titah larang mereka yang tiada tauliah agama untuk beri ceramah di masjid-masjid di bawah seliaan Kerajaan Negeri Terengganu, dia langgar juga," katanya.
Comments