Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempersoalkan birokrasi proses vaksinasi Covid-19 sehingga menyebabkan hanya lebih 4 juta populasi rakyat baru selesai divaksin.
Presiden KEADILAN itu berkata, ia secara tidak langsung melambatkan lagi peluang untuk mencapai sasaran imuniti kelompok 80 peratus pada hujung tahun ini.
"Betul tak ada 2 juta vaksin masih dalam simpanan, mengapa ini tidak disalurkan cepat? Kenapa rumit sangat.
"Bila nak diagihkan kepada semua hospital daerah dan pekan-pekan kecil ada prosesnya, ada borang kena isi, ia menjadi sulit sedangkan rakyat sangat terdesak kerana sakit dan kematian, vaksin ini mesti disegerakan," katanya.
Anwar juga menggesa kerajaan supaya tidak terlalu angkuh sebaliknya mendengar pandangan pelbagai pihak dalam menangani isu Covid-19 secara bersama.
"Kerajaan pusat gagal dengan setiap hari kenyataan bercanggah, panglima-panglima besar ramai tapi tak seragam pendapatnya, ada menteri juga kritik keputusan kabinet.
"Ini penyakit baru, tak semua orang ada maklumat, jangan sampai tak boleh dengar orang lain langsung, pakar di dunia ini ribuan, dengarlah mereka, cari kaedah terbaik dan belajar dari pengalaman.
"Jangan bagi keliru dan sedap hati. Usah mengelirukan kerana kita tetap tidak dapat angka sebenar.
"Sultan Selangor sendiri terpaksa zahirkan bahawa kenyataan kerajaan pusat amat mengelirukan iaitu 2.9 juta pemberian kepada kerajaan negeri Selangor padahal hanya sekitar 600,000. Ini menggambarkan keadaan yang kusut," katanya.
Σχόλια