
Peguam Negara perlu memberi penjelasan kenapa kes yang melibatkan unsur rasuah ke atas bekas Menteri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dirayu pembebasannya ditarik balik.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mempersoalkan rasional pengguguran rayuan berkenaan, terutama kes kes yang melibatkan kepentingan awam.
"Kuasa pendakwaan, ada kes kes tertentu termasuk kes melibatkan mantan Menteri Wilayah, itu keputusan Mahkamah (Tinggi membebaskan) tetapi yang kita tidak faham mengapa Peguam Negara, kes orang curi susu pun kadang dirayu, kes dadah kecil rayu tetapi kes libatkan mantan Menteri tidak atau tarik semula rayuan.
"Apa perlu dilakukan untuk memastikan Peguam Negara itu lebih berwibawa, profesional dan kalau dia buat keputusan begitu dia mesti memberi penjelasan kepada negara.
"Dia tidak boleh membuat kenyataan. Kalau begitu tiada pertanggungjawaban kepada rakyat. Kalau seorang mantan Menteri dah rayu pun tarik balik rayuan. Jabatan Peguam Negara itu adalah penjaga kepentingan awam," kata Anwar dalam perbahasan Dewan Rakyat, sesi pagi.
Beliau seterusnya menyeru Peguam Negara agar tidak gentar sekiranya menerima tekanan politik dalam isu menarik semula rayuan tersebut.