Kenakan hukuman lebih tegas terhadap penjenayah pedofilia
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Putrajaya menggesa kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi memperkenalkan hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah pedofilia.
Ketuanya, Fasyarini Azahari menerusi satu kenyataan menyatakan kebimbangan terhadap eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak, khususnya jenayah pedofilia yang semakin membimbangkan.
"Wanita KEADILAN Putrajaya mengecam sekeras-kerasnya jenayah ini yang meninggalkan kesan trauma mendalam terhadap emosi dan masa depan mangsa yang tidak berdosa.

"Tiada kompromi wajar diberikan kepada pelaku. Mereka mesti dihukum setimpal tanpa mengira kedudukan atau latar belakang," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama beliau berkata, pihaknya turut mengesa langkah memperkukuh daftar pesalah seksual yang boleh diakses oleh institusi pendidikan dan komuniti dipercepatkan.
Selain itu seluruh masyarakat – termasuk agensi kerajaan, NGO dan ibu bapa diseru berganding bahu memastikan persekitaran yang benar-benar selamat untuk generasi muda negara.
"Usaha pencegahan menerusi pendidikan kesedaran di sekolah, komuniti serta platform digital agar kanak-kanak perlu diperhebat agar lebih bersedia mempertahankan diri daripada ancaman seksual.
"Masa depan negara bergantung kepada anak-anak kita. Lindungi mereka sekarang sebelum segalanya terlambat. Lindungi Anak, Perangi Pedofilia Sekarang," katanya lagi.
Comments