Isu kenaikan harga minyak masak dalam botol ketika ini perlu ditangani secara holistik.
Bagi Setiauasaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang menyebut satu formula menang-menang akan diusahakan menangani isu kenaikan harga minyak masak membabitkan semua pemegang taruh Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan pemain industri amat dialu-alukan.
Namun, katanya, penyelesaian yang diharapkan rakyat adalah dengan mengembalikan harga bahan keperluan itu ke paras sebelum ini.
Begitu juga, menurut beliau, penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga amat penting sebagai autoriti yang bertanggungjawab dalam penentuan dan mengawal harga melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
"Formula menang-menang itu harus mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh. Ini termasuklah syarikat perladangan kelapa sawit, pekebun kecil kelapa sawit, pengilang, peniaga dan pengguna. Pengguna yang terdiri rakyat terbanyak yakni 30 juta orang mesti diberi pemberat keutamaan yang lebih dalam usaha kerajaan merangka formula menang-menang.
"Saya mengulangi gesaan agar kerajaan menimbang serius cadangan melaksanakan dua peringkat harga (2-tiered pricing). Sementara harga minyak sawit mentah terus meningkat (RM3844 pada 10 Jun 2021) dan menyaksikan ‘trend’ peningkatan berterusan, namun menimbangkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestik yang hanya 1 juta tan metrik pada harga lebih rendah masih boleh dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk itu, mantan Menteri KPDNHEP tersebut mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga sawit pukal domestik pada julat sekitar RM2,500 hingga RM2,700 per tan metrik bagi mendapatkan harga kekal bagi minyak sawit botol.
"Kerajaan sebelum ini berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi harga di atas “threshold” menetapkan harga minyak masak bersubsidi.
"Berdasarkan kaedah ini semua komponen kos telah diambil kira. Komponen kos ini adalah sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi. Ini termasuklah harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong, margin keuntungan peruncit dan kos pentadbiran.
"Dalam melaksanakan dua peringkat harga ini, saya mencadangkan kerajaan menimbangkan “range” harga domestik sekitar RM2,500 hingga RM2,700 per tan metrik.
"Berdasarkan kaedah simulasi harga yang gunapakai oleh KPNHEP ini, jika kerajaan menetapkan harga minyak sawit mentah untuk kegunaan domestik pada RM2,500 misalnya, harga minyak masak 5kg boleh dijual paling mahal di pasaran pada harga RM20 sebotol setelah mengambil semua kos yang terlibat," katanya.
Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, buat sementara waktu kerajaan memerlukan mekanisme lain untuk mengawal harga dalam tempoh segera.
Hal itu, kata beliau boleh dilakukan dengan memperkenalkan subsidi seperti diamalkan kerajaan BN sehingga 2017. Cuma kali ini subsidi boleh diberi secara one off.
"Sehingga langkah itu diambil saya ingin mengingatkan Menteri Khairuddin Aiman Razali bahawa harga minyak masak sekarang berada pada tahap tidak munasabah. Rakyat sesungguhnya gelisah. Saya yakin harga munasabah hanya boleh dinikmati kiranya kerajaan bersedia melaksanakan kaedah dua peringkat harga.
"Manakala untuk mengekalkan harga minyak masak bersubsidi pada harga sekarang yakni RM2.50 sebungkus bajet subsidi RM400 juta sudah pasti tidak mencukupi.
"Sebagai langkah segera kerajaan boleh menambah subsidi. Pada masa yang sama aspek penguatkuasaan penting untuk mengawal ketirisan dan penyeludupan. Ini membolehkan rakyat terbanyak dapat menikmati kelegaan hasil program subsidi kerajaan," katanya lagi.
Коментарі