
Kenaikan harga bahan mentah makanan terutama di musin Hari Raya Aidilfitri menunjukkan kelemahan serius kerajaan Perikatan Nasional (PN). Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, harga bahan makanan basah bukan naik mendadak tanpa sebab atau permainan 'orang tengah' semata-mata. Katanya, faktor kenaikan itu berangkai akibat kegagalan beberapa kementerian yang tidak berkesan menyelesaikan masalah sejak bulan pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Sim, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani didapati gagal mengawal rantaian bekalan makanan sehingga berlaku kekurangan bekalan sewaktu PKP. Hal itu, katanya, tidak akan terjadi jika kementerian memberi nasihat kepada penternak, petani dan nelayan serta pengagihan bekalan dilakukan agensi kerajaan secara sistematik. "Bila musim PKP, menteri PN tidak bantu petani, penternak dan nelayan. Kerajaan tidak segera menyelesaikan masalah. Sepatutnya mereka kena ambil tanggungjawab kerana ini adalah untuk memastikan rantaian bekalan makanan mencukupi dan harga barang tidak naik mendadak. "Dari sudut lain, menteri-menteri ini juga kurang pengalaman dan masih kabur dengan tugas masing-masing. Mereka tidak tahu menyelesaikan masalah. "Sebagai contoh, untuk atasi masalah kekurangan bekalan mereka sepatutnya arahkan agensi untuk ambil bekalan dari petani dan jual terus ke pasar tani dan lain-lain. Tetapi kita tidak nampak apa-apa langkah pun yang mereka lakukan untuk membantu petani," kata bekas Timbalan Menteri Pertanian itu kepada Suara Keadilan. Mengulas mengenai spekulasi akan berlaku penurunan harga barang berikutan harga minyak yang rendah, Sim menjangkakan harga barangan tidak akan turun di bawah kerajaan PN kerana ketidakcekapan kerajaan itu sendiri. "Sebaliknya, saya jangka harga barang akan naik lagi kerana kegagalan kerajaan mentadbir. "Minyak turun tetapi harga barang di pasar melambung tinggi. Saya rasa harga akan naik lagi lepas raya," ujarnya. Ekoran kegagalan itu, menurut Sim, rakyat harus menilai kerajaan manakah yang mampu melaksanakan urustadbir dengan lebih baik.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sudah terbukti mampu mengawal harga dengan berkesan. Sekiranya harga makanan gagal dikawal, tegas Sim, maka lebih sukar lagi kerajaan mahu mengawal ekonomi Malaysia secara keseluruhan "Isu harga barang pun tidak mampu selesai maka inilah contoh bahawa PN gagal memerintah dengan baik," sinisnya. Untuk rekod, sepanjang PKP lalu terdapat penternak yang mengeluh hasil ternakan mereka sukar dijual akibat sekatan polis. Oleh kerana itu petani mengurangkan penternakan. Begitu juga nelayan yang terpaksa membuang hasil tangkapan ke laut. Maka mereka mengurangkan jumlah tangkapan ketika PKP dilonggarkan. Hal sama juga mungkin berlaku kepada petani yang mengurangkan penanaman bagi mengelak kerugian jika hasil sukar dibawa keluar.