Kemunculan calon di media sosial semakin jadi faktor penentu kemenangan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Kemunculan calon di ruang awam (visibility) seperti media sosial dilihat semakin memainkan peranan penting dalam membentuk kecenderungan pengundi muda, dengan faktor populariti dan platform digital kini menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan pilihan mengundi.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Mohd Fauzi Fadzil berkata, pelbagai kajian yang dijalankan institut penyelidikan seperti IDE Research Centre, Ilham Centre dan Merdeka Centre menunjukkan faktor calon masih menjadi antara penentu utama kecenderungan pengundi, khususnya dalam kalangan belia.
"Memang faktor calon itu menjadi peranan penting yang mana ia akan menarik kecenderungan golongan belia untuk memilih dalam pilihanraya akan datang.
"Benda yang sama juga berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lepas di mana beberapa tokoh yang kita lihat sebagai ‘influencer’ (pempengaruh) boleh menang mengalahkan beberapa tokoh yang sudah lama berada dalam politik.
"Ini menunjukkan ‘visibility’ kepada golongan belia lebih memainkan peranan walaupun mungkin seseorang itu kalau kita lihat beberapa tokoh (seperti) di Kedah, apa yang dia tak beri kepada pengundi?
"Daripada mesin basuh sampailah anak dilahirkan, semuanya dijaga, tapi kerana ‘visibility’ itu kurang jadi sokongan itu tidak menonjol," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan landskap politik dalam era media sosial.
Mengulas lanjut, Dr Fauzi berkata, landskap politik semasa kini berada dalam era ‘visibility’ di mana individu yang lebih menonjol dan mempunyai kehadiran yang tinggi di ruang digital, berpeluang lebih besar untuk meraih perhatian dan sokongan pengundi.
Katanya, faktor visibility turut menyebabkan ramai tokoh yang pernah meninggalkan arena politik memilih untuk kekal berada di ruang awam menerusi media, sama ada sebagai penyiar, pengulas atau personaliti radio untuk mengekalkan hubungan dengan masyarakat.
"Bermain dengan ‘visibility’ ini (ialah) bermain dengan menarik orang nak melihat ‘content’ kita. Sebab itu kadang-kadang benda ini saya lihat dalam keadaan tertentu, apabila ahli politik terlampau bergantung kepada ‘visibility’ ini, mereka terpaksa cari ‘content’ yang kadang-kadang benda yang agak negatif.
"Ini kerana apa sahaja benda selagi boleh menarik perhatian orang untuk melihat mereka dianggap sebagai kejayaan walaupun benda itu memalukan, walaupun kadang-kadang benda itu tidak bermaruah dan sebagainya.
"Memang untuk berjaya mereka perlu bermain dengan isu-isu semasa, tapi isu semasa itu kalau boleh jangan bersifat perkauman atau benda bersifat emosi dan sensitif," ujarnya lagi.




Comments