Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya anjuran Yayasan Ikhlas petang ini bersama ANIH Berhad pengendali Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan cuba berusaha menangani isu-isu keselamatan jalan raya di sepanjang musim perayaan.
Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani berkata usaha kecil tersebut merupakan langkah satu bermakna bagi mencegah kemalangan yang semakin meningkat.
"Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini, marilah kita mengukuhkan rasa kasih sayang, peduli dan bertanggung jawab terhadap satu sama lain dengan memastikan keselamatan perjalanan kita bersama
"Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya adalah langkah kecil tetapi bermakna dalam menyumbang kepada masyarakat yang lebih selamat dan harmoni.
"Dalam semangat Kempen Kasih Ramadan dengan tema 'Beri Seadanya, Berkongsi Seikhlasnya' kami berharap agar setiap langkah kecil ini dapat memberikan manfaat sebesar-besarnya kepada masyarakat," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak untuk turut serta dalam kempen berkenaan dengan mengamalkan pemanduan cermat yang boleh menyelamatkan nyawa semasa memandu serta menyebarkan kesedaran kempen itu kepada orang lain.
"Bersama-sama, kita mampu menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih selamat dan membahagiakan semua," katanya lagi.
Menerusi kempen Kasih Ramadan ini turut diadakan aktiviti pengedaran 300 Pek Ramadan ‘on-the-go’ kepada pengguna jalan raya daripada Yayasan Ikhlas.
Tahun ini merupakan tahun ke 10 Kempen Kasih Ramadan berlangsung di mana yayasan tersebut mengagihkan pelbagai jenis bantuan seperti Pek Ramadan yang mengandungi barang keperluan dan makanan asas, pek sahur serta kelengkapan raya. Yayasan Ikhlas menyasarkan 25,000 penerima manfaat disantuni melalui kempen Kasih Ramadan kali ini.
Comments