Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas kempen 'Jom Kosong' secara berperingkat, kata Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh.
Fuziah ketika melancarkan Jelajah Pertama 'Jom Kosong' di Kluang pada Jumaat berkata inisiatif itu bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan gula selari seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
"Kempen ini bertujuan untuk mendidik pengguna tentang risiko kesihatan seperti diabetes, yang kini menjejaskan 18.3% populasi dewasa di negara ini," katanya dipetik.
Sementara itu menurut Fuziah, kempen tersebut yang dilancarkan pada 11 September lalu mampu memberikan penjimatan kepada pelanggan dengan pengurangan harga sebanyak 20 sen bagi setiap minuman tanpa gula yang dipesan.
"Melalui penglibatan pengusaha makanan dan restoran di seluruh negara dalam kempen perangi gula ini, kita berharap ia akan menjadi budaya dan gaya hidup baharu dalam masyarakat Malaysia melalui amalan pengurangan pengambilan gula dalam minuman atau makanan mereka," jelasnya.
Beliau turut memberitahu, setakat ini hampir 14,000 pengusaha kedai makanan di seluruh negara sudah menyertai kempen tersebut dan beliau menjangkakan lebih ramai akan turut serta.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) antara persatuan terawal yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini selain Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).
"Di Negeri Johor sahaja terdapat 688 pengusaha restoran sudah menyertai kempen ini dan Ia adalah sebahagian kira-kira 14,000 pengusaha yang sudah menyatakan komitmen untuk bersama kempen ini," jelasnya.
תגובות