Kemerosotan KEADILAN ibarat kalah pertempuran, susun strategi menangi PRU
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diyakini mampu kembali menyusun kekuatan dan meraih semula sokongan rakyat selepas mengalami kemerosotan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Sabtu lalu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata beliau yakin KEADILAN masih mempunyai organisasi parti yang tersusun sebagai sebuah gerakan politik.
Katanya, KEADILAN mampu merancang semula, menyusun strategi, mengenali segala kelemahan dan kekuatan untuk menyusun saf, mengatur langkah, membina naratif tulen, jujur dan segar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 kelak.
"Anggaplah kekalahan di Sabah baru-baru ini, satu kekalahan dalam satu pertempuran. Dari sejarah KEADILAN sebelum ini, ia pernah bangkit semula dan mara ke depan dengan lebih teguh sehingga memenangi perang yang besar iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) yang akhirnya membawa KEADILAN menjadi parti politik tulang belakang dalam Kerajaan Persekutuan sekarang.
"Amat sedih dan malang sekali jika sebuah parti politik yang sebaik KEADILAN ini dengan 18 cita-cita perjuangan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan parti untuk menjadi wadah perjuangan rakyat berbilang bangsa, membangunkan sebuah negara bangsa yang bersatu, demokratik dan adil, menghadapi kemerosotan hanya selepas tiga tahun berada sebagai kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini bagi terus menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan anggota pasca PRN di Negeri Bawah Bayu itu.
Menurut Hassan lagi, pemimpin-pemimpin parti terutama Ahli-ahli Parlimen dari KEADILAN termasuk dirinya sering lantang dan terbuka mengkritik Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar.
Ujarnya, wujud persepsi bahawa KEADILAN yang mengetuai kerajaan ketika ini bergerak terlalu perlahan, malah ada kalanya dilihat seolah-olah mengundur ke belakang dalam pelaksanaan agenda reformasi, sama ada dalam aspek pentadbiran kerajaan mahupun ruang demokrasi dan hak asasi manusia.
"Kadang-kadang teguran dan kritikan itu kelihatan tidak adil kerana tidak mengimbangi dengan beberapa kemajuan dan pencapaian kerajaan selama tiga tahun ini dalam mengurus negara termasuk dalam soal ekonomi dan kebajikan rakyat jelata.
"Di aras peribadi, walau apapun yang telah saya suarakan secara agak keras terhadap kerajaan, terutamanya dalam soal Perjanjian Timbal Balik Perdagangan Antara Malaysia dengan Amerika (ART), saya tetap dengan pendirian saya.
"Bagaimanapun saya amat menghormati sikap pemimpin Kerajaan dan pemimpin KEADILAN khususnya PM Anwar dan juga Presiden parti yang menghormati dan memberi ruang kebebasan untuk kami Ahli Parlimen KEADILAN bersuara bebas dalam dan luar Parlimen.
"Jika parti politik lain, mungkin kami telah dipecat atau digantung keanggotaan parti, tetapi ini tidak berlaku dalam KEADILAN," ujarnya lagi.
Oleh itu, Hassan menyimpulkan bahawa KEADILAN boleh bangkit semula dari kemerosotan sementara di Sabah dan mencipta rekod yang lebih baik dalam PRU kelak.
Pada 29 Nov lalu, KEADILAN kehilangan kerusi DUN Api Api dan Inanam yang dipertahankan sejak dua penggal lalu. KEADILAN yang menelakkan 12 calon dalam PRN Sabah ke 17 - seorang daripadanya merupakan wakil rakyat sedia ada - hanya menang satu kerusi di DUN Merotai oleh pendatang baharu Datuk Jamawi Jaafar.









Comments