Kemerosotoan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia secara berterusan sejak jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 memberi gambaran nyata era kleptokrasi kini kembali melingkari Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador, kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan PN yang dipimpin oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin telah memberi gambaran bahawa amalan rasuah dan salah guna kuasa semakin dianggap normal.
"Tiada keperluan untuk menyemak segala fakta bagi mengakui perkara ini kerana cara kerajaan hari ini dibentuk juga cukup untuk membuktikannya, dan sudah pasti ianya menyumbang kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang kian merosot.
"Walaupun pelbagai agenda nasional dibangunkan seperti Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), namun ianya hanya sekadar program yang pada hakikatnya jauh tersasar daripada realiti sebenar," katanya.
Farshah memberi amaran bahawa gejala rasuah yang sistemik di Malaysia telah menyebabkan pelabur asing mengurangkan pelaburan mereka malah meninggalkan negara ini untuk menanam modal di negara Asia Tenggara lain.
"Kegiatan rasuah tidak hanya tertumpu kepada soal integriti pemimpin semata-mata, malah ia juga terkait dengan pertumbuhan ekonomi negara yang masih bergerak perlahan, serta disusuli hilangnya keyakinan daripada pelabur- pelabur asing," katanya
Justeru, katanya rakyat perlu melakukan perunbahan dalam pilihan raya dengan menolak pengkhianat yang menjatuhkan kerajaan mandat rakyat pada 2020 lalu serta melantik kerajaan yang benar benar berintegriti bagi mengembalikan kesejahteraan ekonomi negara.
"Langkah Sheraton yang membuktikan kerakusan kuasa pemimpin parti politik kerajaan dengan mengkhianati mandat rakyat telah mengembalikan era kleptokrasi.
"Sekaligus hal ini membawa bencana yang lebih besar kepada negara dan rakyat juga yang merupakan golongan paling terkesan dan mengalami penderitaan," katanya lagi.
Terdahulu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) baru baru ini menunjukkan Malaysia jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga ke 57 pada 2020 yang merujuk kepada era pemerintahan PH pada 2019.
ความคิดเห็น