Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPW) amat cemerlang sewaktu dipimpin oleh menterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalan Hannah Yeoh.
Terdapat skim bantuan kepada suri rumah dan juga kajian semula undang-undang berhubung wanita dan kekeluargaan.
Namun setelah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambilalih pemerintahan negara, KPW kelihatan menyepi dan tidak menjuarai isu-isu kewanitaan.
Bagi Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq, KPW hari ini begitu mengecewakan kerana tiada tindakan yang boleh dilihat meningkatkan kualiti kehidupan wanita atau institusi kekeluargaan.
Katanya, Dr Wan Azizah dan timbalan beliau telah meninggalkan tanda aras yang cukup tinggi dan tidak mampu disaingi oleh menteri dari PN.
"Saya rasa apa yang Kementeran Wanita hadapi sekarang ialah struggle untuk berada di tanda aras tersebut. Sebab semasa Pakatan Harapan (PH), khususnya ketika Kak Wan memimpin kementerian ini janji pilihan raya telah pun dilaksanakan. Seperti skim i-Suri (untuk golongan B40), biar pun perlaksanaannya di Sabah dan Sarawak agak sukar tetapi di Semenanjung kita laksanakan (dengan berkesan)
"Kedua, isu berkaitan kanak-kanak dan wanita, berkaitan perkahwinan kanak-kanak. Sekarang kita tertanya-tanya adakah kementerian masih melaksanakan garis panduan (melarang wanita bawah 18 tahun berkahwin) yang dibuat semasa PH memerintah.
"Yang lain, isu perlindungan wanita dan kanak-kanak, saya lihat masih sayup-sayup (diperjuangkan oleh PN)," katanya kepada Suara Keadilan.
Fadhlina turut mempersoalkan hala tuju KPW di bawah menteri Zailah Yusoff apabila tiada tindakan bermakna dilakukan sewaktu era pandemik Covid 19.
Sedangkan kementerian itu boleh dianggap kanan kerana menguruskan kebajikan rakyat dan keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan kemudian risiko kehilangan pekerjaan akibat kemerosotan ekonomi.
"Kementerian Wanita sepatutnya ditonjolkan sebagai kementerian kanan kerana mereka deal dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, beri makanan kepada rakyat, talian 1599, talian kasih dan sebagainya.
"Tetapi (kita lihat peranan itu) gagal di bawah kementerian yang ada sekarang. Menyebabkan kementerian ini nampak sugul dan tidak nampak signifikan dalam masyarakat.
"Jadi bagi saya tanda aras yang ditinggalkan PH, khususnya di bawah Kementerian Wanita sehingga hari ini masih kuat kesannya dan Kak Wan serta Hannah masih terus mengeluarkan kenyataan isu-isu berkaitan Kementerian Wanita," katanya lagi.
Untuk rekod, isu perkahwinan bawah umur tidak lagi diperjuangkan oleh KPW, begitu juga beberapa pindaan undang-undang yang dicadangkan oleh kementerian itu sewaktu di bawah PH.
Comments