top of page

Kementerian Pengangkutan, CAAM ambil langkah tingkat piawaian Aeregrom

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 6, 2024
  • 2 min read


Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan segera dan langkah proaktif untuk memastikan keselamatan dan pematuhan aerodrom (lapangan terbang kecil untuk pesawat udara persendirian) di Malaysia susulan kemalangan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda di Tokyo, Jepun, pada awal Januari lalu.


Menurut kenyataan MOT, CAAM telah menjalankan Pemeriksaan Tujuan Khas atau Special Purpose Inspection (SPI) pada bulan Januari dan Februari 2024 meliputi 19 lapangan terbang domestik dan antarabangsa di seluruh negara.


Pemeriksaan tersebut, kata kenyataan itu, tertumpu kepada kemudahan-kemudahan aerodrom yang kritikal, termasuk landasan (runway), laluan pesawat (taxiway), apron dan penunjuk arah angin dengan memastikan pematuhan terhadap piawaian yang telah digariskan di dalam Dokumen Civil Aviation Directives (CAD) 14 Vol 1 - Aerodrome Design and Operations.


"CAAM juga telah menganjurkan satu bengkel pematuhan pada 26 Mac 2024 yang telah dihadiri oleh 66 wakil daripada semua pengendali aerodrom di seluruh tanah air termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. dan Tanjung Manis Development Sdn. Bhd.


"Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara CAAM sebagai badan kawal selia dan pengendali aerodrom, dalam usaha komitmen bersama untuk mengekalkan piawaian keselamatan, kecekapan dan kemampanan tertinggi dalam industri penerbangan.


"Pihak MOT bersama-sama CAAM komited memastikan semua aerodrom di Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau International Civil Aviation Organization (ICAO)," katanya.


Menurut kenyataan MOT itu lagi, komitmen berkenaan penting kerana ia bukan sahaja untuk memastikan keselamatan aerodrom di tahap tertinggi tetapi juga salah satu bentuk persediaan bagi Malaysia untuk program audit ICAO di masa hadapan.

"Usaha CAAM untuk memastikan pematuhan piawaian secara keseluruhan oleh semua pengendali aerodrom mencerminkan tanggungjawab kolektif di dalam mengekalkan tahap keselamatan dan integriti infrastruktur penerbangan di negara ini.


"MOT akan terus menyokong pelaksanaan langkah-langkah ini bagi menunjukkan dedikasi pihak MOT terhadap keselamatan, kecekapan dan kemampanan pengangkutan udara di Malaysia," kata kementerian itu lagi.


Untuk rekod, awal Januari lalu terjadi pelanggaran antara pesawat Pengawal Pantai Jepun dan pesawat penumpang Japan Airlines di Lapangan Terbang Haneda Tokyo.


Pesawat Japan Airlines dalam penerbangan JAL 516 dari Lapangan Terbang New Chitose di Wilayah Hokkaido ke Lapangan Terbang Haneda Tokyo bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai MA-722 selepas mendarat di Lapangan Terbang Haneda, mengakibatkan kedua-duanya terbakar.


Lima daripada enam anak kapal Pengawal Pantai itu disahkan meninggal dunia manakala kapten yang berjaya menyelamatkan diri cedera parah.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page