Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melihat peluang menjadikan Malaysia sebagai hab umrah di rantau Asia.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata MOTAC dalam perancangan untuk memperkenalkan Malaysia sebagai hab bagi menghimpun jemaah seluruh dunia khususnya di rantau ini.
Susulan itu jelasnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut dan seterusnya merealisasikan cadangan itu secepat mungkin.
"Saya bersama pasukan di MOTAC akan mempromosikan program ini ke negara-negara tumpuan seperti China, Korea, Jepun, Thailand, Filipina, Indonesia dan negara-negara serantau untuk menarik mereka melancong ke Malaysia serta memproses visa sebelum mengerjakan umrah," katanya.
Tiong turut menegaskan Timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan pula diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan perkara ini.
"Objektif program ini bukan sahaja demi memberi manfaat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara.
"Tetapi juga bertujuan untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang membangun dan berdaya saing selaras konsep Malaysia Madani," katanya sambil menjelaskan kaedah pelaksanaan dan perincian berhubung cadangan itu akan diumumkan kelak.
Comments