top of page

Kementerian Kerja Raya tingkat pemantauan, pastikan projek siap ikut jadual

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar berucap pada perjumpaan bersama warga kementerian terbabit di Kuala Lumpur. Foto: FB Anwar
DS Anwar berucap pada perjumpaan bersama warga kementerian terbabit di Kuala Lumpur. Foto: FB Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) meningkatkan pemantauan terhadap projek pembangunan di seluruh negara bagi memastikan setiap pelaksanaannya mengikut jadual dan tidak lagi tertangguh.


Perdana Menteri berkata kerajaan memahami keresahan rakyat, khususnya di Sabah yang sudah terlalu lama menunggu keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan pembaikan jalan siap sepenuhnya.


"Orang marah, saya faham. Menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti. Air belum berganti. Elektrik belum pasang. Jalan masih berlubang. Mereka resah kerana terlalu lama terpinggir," katanya ketika berucap pada perjumpaan bersama warga kementerian terbabit di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan terbesar dalam sejarah untuk Sabah iaitu RM17 bilion bagi pembangunan dan operasi termasuk hampir RM1 bilion untuk air dan RM1.2 bilion bagi elektrik, namun banyak projek masih belum siap.


"Selagi belum siap, rakyat belum yakin. Saya tidak salahkan mereka. Tugas kita ialah memastikan segala peruntukan ini benar-benar diterjemah kepada projek yang siap dan memberi manfaat," katanya.


Perdana Menteri berkata beliau sendiri turun ke Sabah pada Sabtu lalu bagi memberi jaminan bahawa kerajaan akan memantau rapat semua projek air, elektrik dan jalan raya.


Katanya Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut diarahkan memastikan setiap projek dipercepatkan mengikut jadual.


"Apa yang harus dilakukan oleh kementerian, selain daripada untuk negeri, ialah menyenaraikan seperti yang sudah ada dalam senarai, semua projek. Berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita. Dan pastikan kita rekod prestasi mereka," kata beliau.


Anwar turut mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat bulanan di Kota Kinabalu untuk menyelaras status projek, terutama tiga keperluan utama rakyat.


"KKR ini tonggaknya. Saudara berjaya, berjayalah pembangunan negeri itu. Projek mesti dipantau setiap bulan dan tindakan tegas diambil terhadap kontraktor yang sambil lewa," katanya.


Beliau juga mahu kementerian menyenaraikan semua projek di seluruh negara serta merekod prestasi pelaksanaan secara sistematik, selain memastikan projek di peringkat negeri seperti Sabah, Sarawak, Perlis dan Kelantan disiapkan mengikut jadual.


Anwar menegaskan keperluan pegawai turun padang dan mengambil kira maklum balas serta cadangan daripada pegawai bawahan di lapangan bagi mengelakkan keputusan dibuat hanya berasaskan perancangan dari Putrajaya.


"Kadang-kadang projek sekolah diluluskan, tetapi bila turun ke bawah, rupanya jalan ke sekolah itu teruk dan tidak termasuk dalam perancangan. Beri ruang kepada pegawai rendah beri pandangan supaya gambaran sebenar di bawah dapat diambil kira," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page