top of page

Kementerian Ekonomi percepat pelaksanaan projek berskala kecil

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 36 minutes ago
  • 1 min read

Kementerian Ekonomi memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dipercepat bagi memastikan manfaatnya dirasai terus oleh rakyat, terutama di peringkat akar umbi.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, langkah itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang menekankan peranan kementerian untuk mempercepatkan projek kecil.


"Projek seperti jalan kampung, kemudahan asas, bekalan air bersih dan penambahbaikan infrastruktur setempat mungkin kecil dari segi kos, tetapi impaknya besar kerana menyentuh keperluan harian rakyat," katanya dipetik pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya pada Khamis.


Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru sementara itu berkata, tanggapan bahawa hanya projek mega mampu merangsang ekonomi perlu diperbetulkan kerana projek kecil lazimnya dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan memberikan kesan segera kepada komuniti setempat.


"Cabaran kerajaan bukan sekadar menjana pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan hasilnya diagihkan secara adil dan seimbang kepada semua lapisan masyarakat.


"Kita tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada projek besar semata-mata. Apabila projek kecil lewat dilaksanakan atau tertangguh, rakyat akan merasakan kerajaan tidak memahami masalah sebenar yang mereka hadapi," tambahnya.


Sehubungan itu tegasnya, kementerian akan memperkukuh pemantauan projek kecil bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual, berkualiti, selamat dan memenuhi tujuan asal pelaksanaannya.


"Pelaksanaan projek bukan sekadar memastikan ia siap, tetapi siap dengan piawaian ditetapkan, berfungsi sepenuhnya, selamat digunakan dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page