Kementerian Azmin, Zuraida bazir wang rakyat


Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang diterajui Azmin Ali sebelum ini dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dipimpin oleh Zuraida Kamaruddin ketika ini didapati membelanjakan lebih banyak daripada apa yang diperuntukkan tahun lalu.


Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata ini berdasarkan Rang Undang-Undang Perbelanjaan Tambahan yang menunjukkan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah menambah bajet kira-kira 21 peratus daripada jumlah yang diperuntukkan sebelum ini.


"Tahun lalu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diperuntukkan bajet keseluruhan sebanyak RM2.965 bilion, tetapi kementerian itu menambah RM608 juta lagi, ini adalah peningkatan yang cukup besar iaitu 21 peratus.


"Malah, dalam butiran kategori pemberian dan kenaan bayaran tetap, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menambah perbelanjaan mengurus sebanyak RM39 juta.


"Padahal, anggaran bajet asal untuk perkara yang sama cuma RM160,000. Ini adalah peningkatan super extraordinary iaitu sebanyak 246 kali ganda," katanya di Dewan Rakyat.


Pada masa sama, Wong Chen juga mempersoalkan perbelanjaan berlebihan yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan peratusan yang sama dengan Azmin iaitu sebanyak 21 peratus.


"KPKT diperuntukkan sebanyak RM4.826 bilion pada 2019. Dalam Rang Undang-Undang Perbelanjaan Tambahan, KPKT menambah RM1.105 bilion yang menunjukkan ia satu penambahan ketara iaitu sebanyak 21 peratus.


"Kita juga boleh lihat dalam butiran kategori pemberian dan kenaan bayaran tetap, KPKT menambah RM611 juta sedangkan anggaran asal untuk perkara sama adalah RM900 juta. Ini juga satu peningkatan cukup besar iaitu sebanyak 68 peratus," katanya.


Wong Chen turut berpandangan bahawa Zuraida gagal menguruskan perbelanjaan dengan baik untuk syarikat milik kerajaan di bawah kementeriannya iaitu SWCorp.


"Saya memahami tambahan ini adalah untuk keperluan konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dibawah SWCorp.


"SWCorp adalah syarikat milik kerajaan dan rakyat perlu tahu sama ada terdapat konsesi baru yang telah diberikan kepada syarikat ini.


"Kalau peruntukan baru dalam 10 atau 20 peratus kita boleh faham, tetapi kalau bajet asal RM100 juta tiba-tiba naik sampai RM342 juta, apa alasannya naik mendadak?


"Mungkin ada faktor sosioekonomi, tetapi penambahan ini terlalu banyak dan tidak ada fiskal disiplin langsung.


"Dalam perancangan bajet sebelum ini, KPKT cuma minta RM900 juta, padahal SWCorp tiap-tiap tahun bajet lebih kurang sama, tetapi kali ini minta RM1.18 bilion, sangat tak masuk akal," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio