Kementerian, agensi diarah percepat usaha selesai baki isu MA63
- Azuan Ab Rahman

- 7 hours ago
- 1 min read

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan (MTP) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengarahkan semua kementerian dan agensi memfokuskan usaha mempercepat penyelesaian baki isu berkaitan MA63.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, mesyuarat dipengerusikannya pada Isnin meneliti status terkini pelaksanaan serta kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat MTPMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.
"Jawatankuasa membincangkan beberapa agenda strategik termasuk inisiatif “Borneonisasi” perkhidmatan awam, usaha mengurangkan jurang penyampaian perkhidmatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.
"Pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah membuktikan bahawa banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama beliau juga memaklumkan, jawatankuasa turut mengambil maklum peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun.
Ia termasuk kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak pada 21 Julai lepas.
"Kedua-dua pencapaian ini membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan MADANI bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.




Comments