Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mengkaji semula pendekatan yang diambil menangani Covid 19 di Kedah berikutan peningkatan jumlah kematian.
ADUN Suka Menanti, Ir Zamri Yusof berkata, jumlah kes positif sejak 18 hingga 20 Julai lalu yang mencatat 2,112 orang dan kematian sebanyak 22 mangsa mewajarkan pendekatan lebih tepat dan komprehansif diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah sendiri.
"Kajian kes boleh membantu menilai pendekatan semasa (sama ada sesuai atau tidak). Juga daerah yang berisiko tinggi dan punca penularan.
"Sasaran imunisasi vaksin juga boleh dilihat semula. Kelompok mana yang perlu dilindungi secepat mungkin.
"Jumlah kematian 22 orang dalam 48 jam, wajib segera dikaji kelompok usia, jenis penyakit latar dan pendedahan (kepada Covid). Kajian mampu menghalang kejadian seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zamri lagi, rakyat semakin letih melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan pusat dan negeri untuk menangani Covid 19.
Katanya, kerajaan sepatutnya menunjukkan hala tuju yang jelas dalam kempen yang dilakukan, bukan mengekalkan strategi sedia ada yang tidak berhasil.
"Rakyat dah letih nak komen. Tiada pendekatan khusus bagi Kedah ketika kes mula melepasi 400 sehari. 500 sehari. 600 sehari. Dan la ni 700 sehari jadi normal.
"Kerajaan PN Bersatu, Pas, Umno mentadbir Kedah dari 90 Kes (Mei 2020) 15 bulan yang lalu, hingga kini 33,000 kes dan 956 kes positif.
"Kita tunggu apa depa nak buat," katanya lagi.
Untuk rekod, Kematian pesakit Covid di kedah yang mencatat 8 kematian pada 18 Julai, dan 14 kematian pada 19 Julai baru-baru ini mengejutkan rakyat kerana jumlah kematian di negeri itu sentiasa rendah sebelum ini.
Comments