Kemasukan ke IPTA kekal berdasarkan merit kelayakan - Adam Adli
- Suara Keadilan

- Jun 26
- 1 min read

Proses kemasukan ke universiti awam tidak dibuat berdasarkan sentimen politik, sebaliknya tertakluk kepada syarat serta merit kelayakan yang ditetapkan dalam sistem pendidikan negara.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Adam Adli Abdul Halim berkata, dakwaan kononnya wujud laluan khas atau kelonggaran syarat bagi kemasukan ke universiti awam termasuk membabitkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sama sekali tuduhan tidak berasas.
"Kita tidak pernah membuka laluan ke universiti ini hanya berdasarkan sentimen politik atau selera masing-masing.
"Kerajaan tidak pernah menyatakan bahawa pemegang UEC boleh diterima masuk ke universiti awam secara automatik hanya berdasarkan kelayakan berkenaan. Ada syarat merit yang perlu dipatuhi, terutama sekali berlandaskan sistem pendidikan kita," katanya dipetik laporan media tempatan.
Adam Adli menegaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan seorang Ahli Parlimen Pembangkang dari Pas di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memaklumkan, seramai 873,765 graduan warganegara menamatkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Kadar graduan bekerja juga terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan daripada 90.9 peratus pada 2023 kepada 92.5 pada 2024, selain kita juga melihat peningkatan dari sudut kualiti pekerjaan yang diperoleh graduan.
"Peratus graduan ijazah pertama yang menerima pendapatan RM3,001 hingga RM4,000 meningkat daripada 22.7 peratus pada 2024 kepada 23.8 peratus pada 2025," katanya.




Comments