Kemasukan awal prasekolah, darjah satu untuk kanak-kanak bersedia - Fadhlina
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Pelaksanaan kemasukan awal kanak-kanak berusia lima tahun ke prasekolah dan enam tahun ke Darjah 1 mulai tahun hadapan adalah selari dengan keperluan mengembangkan potensi mereka lebih awal melalui pendidikan yang bersesuaian, tanpa menjejaskan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (gambar) berkata, perancangan kemasukan awal itu sebenarnya telah dibincangkan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), namun pelaksanaannya diawalkan selepas mengambil kira tahap kesediaan dan potensi kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemasukan awal tersebut hanya melibatkan kanak-kanak yang dikenal pasti benar-benar bersedia.
"Ini penting kerana kita perlu meyakinkan ibu bapa bahawa terdapat anak-anak yang memang bersedia lebih awal. Lebih banyak peluang akan memberi manfaat sekiranya anak-anak dapat memulakan persekolahan lebih awal.
"Sekiranya mereka telah bersedia, kita amat mengalu-alukan untuk mereka memulakan pembelajaran lebih awal daripada kebiasaan," katanya dipetik pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu tambah Fadhlina, langkah pertama ibu bapa ialah mengenal pasti tahap kesediaan anak masing-masing untuk mengikuti pembelajaran formal lebih awal.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian akan melaksanakan ujian diagnostik bagi mengenal pasti tahap kesediaan, kekurangan serta keperluan kanak-kanak yang terlibat.
"Kanak-kanak berusia enam tahun yang dikenal pasti bersedia dari segi perkembangan kognitif, emosi dan sosial akan diberi peluang untuk memulakan pembelajaran dengan kemasukan ke Darjah 1 pada tahun 2027," jelasnya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa kementerian akan terus berhati-hati dalam pelaksanaan dasar ini dengan memastikan hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia dibenarkan mengikuti kemasukan awal.
Sehubungan itu, isu prasarana turut menjadi tumpuan utama berikutan jangkaan peningkatan jumlah kohort murid Darjah 1, selain unjuran keperluan guru baharu yang akan dilaksanakan susulan kemasukan kanak-kanak ke Darjah 1 pada usia lebih awal mulai tahun hadapan.
Fadhlina sementara itu turut memaklumkan bahawa kementerian akan menetapkan satu tempoh masa bagi mengumpul semua data berkaitan, termasuk jumlah kanak-kanak berusia enam tahun di seluruh negara.
"Berdasarkan data tersebut, kita akan menyusun persiapan. Kohort sedia ada berusia tujuh tahun akan diteruskan dan ditambah dengan satu kohort baharu berusia enam tahun untuk kemasukan. Itulah persiapan yang sedang kita lakukan," tambahnya.









Comments