Keluaran telur gred khas harga murah akan diperbanyakkan
- Suara Keadilan
- May 5
- 2 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperbanyak keluaran telur ayam gred khas pada harga murah untuk menampung permintaan pasaran.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu sebagai langkah intervensi yang dilaksana KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) berikutan keputusan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi bagi produk itu bermula 1 Ogos ini.
"Telur keluaran khas yang mula diperkenalkan pada harga RM5 sepapan (30 biji) Ramadan lalu mendapat sambutan baik.
"Kita nak memperbanyakkan keluaran telur khas lebih murah. Kali ini, tak tahu harganya macam mana tetapi kita yakin tidak akan naik melambung," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Pakatan Harapan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Ahad.
Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan kadar subsidi daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa 1 Mei dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Keputusan penamatan subsidi secara 'soft landing' itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dipetik laporan Berita Harian baru-baru ini menjangkakan keputusan penamatan subsidi itu akan menjadikan harga telur di pasaran lebih murah berbanding sebelum ini.
"Situasi sama berlaku apabila harga ayam diapungkan apabila subsidi ayam ditamatkan pada 1 November 2023.
"Apabila harga ayam di apungkan, harga bahan mentah itu turun dan tidak pernah lagi melepasi harga siling sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram," katanya.
Sementara itu Mohamad Sabu menyatakan harapan agar usaha dilakukan kerajaan tidak hanya akan menstabilkan harga telur dalam pasaran, tetapi juga akan dapat meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat ditanggung rakyat.
Selain itu kerajaan jelasnya terus berusaha membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara.
Comments