KEADILAN tidak pernah tergugat dengan pengkhianatan beberapa kelompok yang kononnya telah melemahkan parti.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti keramat itu pernah ditinggalkan oleh sekian banyak pemimpin-pemimpin besar namun bukan melemah, sebaliknya mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 lalu.
Beliau yang mengimbau kenangan dua dekad KEADILAN malam tadi, dalam Majlis Makan Malam Mantan AMK Malaysia 2020 berkata, kemenangan Reformasi akan dibuktikan dalam PRU seterusnya.
"Saya masih ingat pada ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Ijok 2007, ketika itu kita lihat beberapa tindakan yang bukan nak memenangkan kita sebaliknya mengalahkan kita.
"Akhirnya kita tewas. Pengalaman itu datang lagi sepanjang 22 bulan kita di Putrajaya. Kita sangka itu kemenangan kemuncak Reformasi yang kita perjuangkan 20 tahun lalu. Ada orang yang tidak senang, ingin mengambil kesempatan dari kebaikan dan niat murni kita untuk melakukan reform, islah. Sudah pasti kita selama berpuluh tahun, mungkin berkumpul di Bukit Damansara, diikuti turun ke jalan raya setiap hujung minggu. Diikuti siri program, ceramah, himpunan, laporan polis, laporan BPR dan sebagainya.
"Kita pernah ada satu Ahli Parlimen di Permatang Pauh, orang jangkakan kita akan bungkus. Tetapi pada PRU 2008 kita bangkit, 2013 kita bertahan, 2018 kita mampu meyakinkan rakyat sehingga bendera (logo) kita yang memenangkan PH.
"Sebab itu jangan hairan, jangan risau akan kemenangan reformasi, parti KEADILAN dan kita semua nak angkat Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.
"Jangan kita risau ada dua tiga kelompok yang keluar dan tinggalkan kita kerana sejak dari awalnya memang (dalam sejarah) Naib dan Timbalan Presiden keluar, calon Timbalan Presiden keluar, Ketua Angkatan Muda keluar. Namun keluarnya mereka itu digantikan oleh orang-orang yang lebih baik dan teguh bersama KEADILAN," katanya.
Amiruddin yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor berkata, tidak ada masalah apabila parti diuji hari ini dengan pengkhianatan selepas 20 tahun bersama melalui pahit getir perjuangan.
Ujian, katanya, memisahkan ahli yang benar-benar istiqomah dalam perjuangan menegakkan hak-hak rakyat dan mereka yang mementingkan diri sendiri.
"Perjuangan kita belum tamat. Kita hampir sampai ke kemuncaknya tahun 2018, ada peluang untuk kita tunjukkan apa itu perubahan, Reformasi. Namun kadang kala ada baiknya juga kita diuji begini supaya kita dapat lihat siapa sebenarnya yang mewakili dan berjiwa keadilan, berjiwa reformasi.
"Kepada mereka yang keluar, kamu boleh keluar dan jangan banyak sibuk tentang parti ini kerana kita yakin, kita telah dicuba banyak kali (dan kekal padu)," katanya lagi.
Majlis makam malam tadi menghimpunkan mantan pimpinan dan ahli AMK dan dianjurkan oleh Pertubuhan Generasi KEADILAN Malaysia dipengerusikan oleh Senator Yusmadi Yusof.
Comments