Tindakan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin mempersembahkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih memiliki majoriti dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam merupakan satu penderhakaan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong itu suatu penderhakaan tertinggi dan tidak boleh dimaafkan dari seorang PM berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Sehubungan itu, Majlis Presiden mendesak agar diadakan sidang khas Parlimen segera untuk membahaskan usul Undi Tidak Percaya bagi membuktikan majoriti yang didakwa dimiliki Mahiaddin.
"Setelah pimpinan PH membuat perkiraan teliti bersama rakan-rakan dari parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Tan Sri Mahiaddin ternyata beliau telah tidak bercakap benar dan telah mengelirukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu sesi menghadap semalam. Ini adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.
"Perkara ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan Undi Tidak Percaya terhadap Tan Sri Mahiaddin.
"Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda.
"Tindakan menangguhkan Undi Tidak Percaya sehingga bulan September pula amat tidak wajar. Isu sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin dan kestabilan Kerajaan PN mesti diputuskan sekarang," kata mereka.
Selain itu, Majlis Presiden turut mengingatkan PM Mahiaddin mengenai titah Majlis Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.
Sebaliknya, kata mereka, hal yang dilakukan Mahiaddin dan Jemaah Menteri beliau hari ini hanya memburukkan lagi krisis politik, menyukarkan perang melawan Covid 19 dan menghilangkan keyakinan terhadap ekonomi negara.
"Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun lalu betapa pentingnya kerajaan stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
"Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik Covid-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang.
"Majlis Presiden mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok Pembangkang termasuk Ahli-ahli Parlimen yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin, iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.
"Kami turut memohon semua penjawat awam, terutamanya badan-badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral, dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah untuk menekan atau mengugut Ahli-ahli Parlimen khususnya dalam hal sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng.
Comments