Kelewatan MyKad adik CJ: Sijil kelahiran palsu perlu diselesaikan dahulu
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Isu kelewatan penyelesaian permohonan kad pengenalan melibatkan 'adik CJ' yang tular baru baru ini perlu dilihat secara menyeluruh dan berasaskan fakta, termasuk kekangan dokumentasi yang wujud, sekali gus menepis tanggapan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Kerajaan MADANI gagal melaksanakan tanggungjawab seperti didakwa sesetengah pihak.
Aktivis Pakatan Harapan (PH), Syam Ghaz berkata, hakikatnya sejak dari awal Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat lebih 50,000 kes tertunggak melibatkan permohonan kad pengenalan warganegara.
Bagaimanapun, beliau berkata sebanyak 47,000 permohonan telah berjaya diselesaikan dan tempoh tiga tahun dan kini hanya kira-kira 3,000 masih dalam proses, sekali gus mencatatkan kadar penyelesaian sebanyak 94 peratus.
"Faktanya adik CJ tak dapat nak daftar kad pengenalan kerana sijil lahir palsu dikeluarkan oleh hospital swasta. Ia satu sindiket dan telah diambil tindakan keras oleh polis dan JPN era Kerajaan MADANI.
"Tuduhan permohonan adik CJ lambat, tapi pemain warisan (pasukan bola sepak negara) cepat. (Saya jelaskan) pemain warisan itu (di bawah) Perkara 19, perlu hadir bermastautin di Malaysia dan lulus peperiksaan Bahasa Melayu sahaja.
"Ia untuk kes pemain import, saintis, profesional dan tenaga mahir yang ada kelayakan khusus. Malah jika nak politikan isu pemain warisan, zaman Kerajaan Perpaduan hanya 7 (pemain warisan), zaman dulu lagi banyak iaitu 11 (orang).
"Berbanding adik CJ, ia (di bawah) Perkara 14, iaitu ibu bapa mereka perlu bawa bukti mereka warganegara Malaysia seperti kad pengenalan dan sijil lahir.
"Surat nikah dan sijil kelahiran CJ yang sah sahaja (diterima). Kes jadi lambat sebab sijil kelahiran itu palsu dan semua dokumen perlukan pengesahan semula dari awal, iaitu pendaftaran semula sijil lahir," jelas beliau dalam satu muat naik di media sosial.
Justeru, dalam kenyataan sama, Syam Ghaz merakamkan ucapan tahniah kepada JPN, KDN dan Datuk Seri Saifuddin atas komitmen mereka yang disifatkan sebagai ‘walk the talk’.
Selain itu, katanya, pelaksanaan program MEKAR@JPN yang turun hingga ke peringkat akar umbi, termasuk ke kampung Orang Asli, membuktikan komitmen agensi itu dalam membantu dan mempermudah urusan permohonan kad pengenalan, apatah lagi bagi kes yang telah mempunyai keputusan mahkamah sebagaimana adik CJ.









Comments