Kekuatan bangsa berpaksikan ilmu, akhlak - Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Kekuatan sebuah bangsa bergantung kepada keupayaan melahirkan insan berilmu, berakhlak dan berkarakter unggul, bukan diukur hanya pada kemajuan ekonomi, teknologi serta pembangunan fizikal.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dalam era kecerdasan buatan dan lambakan maklumat, sistem pendidikan perlu terus menekankan pembentukan nilai serta pemikiran kritis agar murid mampu membezakan antara perkara yang benar dan palsu.
Sehubungan itu golongan guru memikul tanggungjawab besar membentuk sahsiah murid kerana sebahagian besar masa anak-anak khususnya di kawasan bandar banyak dihabiskan di sekolah.
"Sistem pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi mendidik anak menjadi insan yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan mempunyai hati yang baik.
"Guru ialah insan yang membentuk aset paling penting negara, iaitu anak-anak kita," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dipetik laporan media.
Terdahulu beliau hadir merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar/Pudu di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Khamis.
Dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, majlis diadakan bagi menghargai sumbangan warga pendidik dan anggota khidmat sokongan dalam memperkukuh kecemerlangan organisasi serta meningkatkan keberhasilan pendidikan.
Majlis turut menyaksikan seramai 746 guru dan pentadbir daripada 143 sekolah menerima pengiktirafan atas prestasi kerja cemerlang dan komitmen tinggi sepanjang 2025.
Sementara itu Dr Wan Azizah dalam ucapan berharap pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada semua penerima untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, di samping menjadi inspirasi kepada warga pendidik lain dalam memperkukuh agenda pendidikan negara.




Comments