Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional tidak menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker), Tan Sri Ariff Yusof dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bagi mengukuhkan sistem demokrasi Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama majlis tersebut berkata, Speaker sedia ada telah menunjukkan rekod cemerlang dalam reformasi Parlimen serta tidak memihak kepada mana-mana paksi. Oleh kerana rekod yang cemerlang maka pertukaran jawatan kedua-duanya pada separuh penggal adalah tidak perlu.
"Tan Sri Yang di-Pertua, yang telah bersara dari politik kepartian sejurus memegang jawatan pasca PRU-14, telah memainkan peranan yang amat mustahak dalam merakyatkan Parlimen di samping memulihkan kepercayaan umum terhadap institusi terpenting demokrasi di
Malaysia.
"Dari pembentukan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang baharu, mewujudkan Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Group) yang merapatkan hubungan di antara Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat sivil, serta pelbagai penambahbaikan
perjalanan sidang Parlimen yang lain, Tan Sri Yang di-Pertua telah membuktikan bahawa usaha reformasi institusi yang bermula pasca PRU-14 telah mula membuahkan hasil dan wajib diteruskan.
"Oleh yang demikian, Majlis Setiausaha PH dengan ini menyatakan sokongan penuh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan kepada Tan Sri Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua.
"Kami turut membantah sebarang usaha untuk menukar mereka berdua, lebih-lebih lagi kerana mereka telah dan diyakini akan terus berkhidmat dengan adil dan saksama serta tidak wujud sebarang keperluan sama sekali untuk menukar pemegang dua jawatan ini," kata mereka dalam satu kenyataan.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan oleh Datuk Seri saifuddin Nasution Ismail dari KEADILAN, Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Loke Siew Fook (DAP).
Minggu lalu dilaporkan Muhyiddin membawa usul untuk menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Percubaan menukar Ariff dipercayai bagi menghalang usul tidak percaya yang dibawa oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin pada 18 Mei lalu dari dibahaskan dalam sesi Julai.
Comments