
Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam memerlukan satu post mortem dan muhasabah menyeluruh bagi mencari kelemahan serta melakukan pembaharuan.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, pembaharuan segera amatlah diperlukan bagi menyegarkan semula parti menjelang pilihan raya umum yang mungkin diadakan dalam beberapa bulan akan datang.
"Walaupun keputusan (PRN Johor) mengecewakan, ada beberapa hal yang perlu diambil maklum oleh kepimpinan KEADILAN.
"Ini adalah amaran untuk membawa pembaharuan pada parti kita. Kita mesti memastikan KEADILAN kekal relevan kepada pengundi muda yang kini semakin berpengaruh dalam politik Malaysia.
"Masih ada masa dan peluang untuk melakukannya jika kita sanggup melihat KEADILAN secara objektif serta mengambil tindakan yang diperlukan untuk memantapkan parti kita," Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu sebaliknya menganggap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab di atas kurangnya rakyat keluar mengundi semalam. Katanya SPR seolah olah tidak bersunggh sungguh untuk memastikan rakyat mengundi, memberitahu SOP kepada mereka atau memberi kemudahan kepada pengundi yang berada di Singapura.
"Saya tidak melihat apa-apa usaha yang dilakukan untuk memastikan rakyat Johor keluar mengundi. Kita juga tidak memperkasakan undi pos, membuka sempadan lebih awal untuk memudahkan pengundi yang berada di luar kawasan untuk memilih.
"Keadaan ini menyebabkan keputusan yang mengecewakan. Selalunya pilihan raya kecil atau negeri tidaklah terlalu mengujakan buat para pengundi. Keadaan ini telah memberi kesan yang besar kepada Pakatan Harapan," katanya.
Bagaimanapun, Nik nazmi terkilan melihat persiapan dan kerja keras yang dilakukan oleh jentera KEADILAN di Johor namun tidak mencapai apa apa kejayaan yang bermakna.
Walau apa pun, beliau mengucapkan tahniah kepada ADUN Bukit Batu yang menjadi wakil rakyat tunggal KEADILAN pada kali ini.
"Keputusan PRN Johor kali ini mengecewakan bagi KEADILAN, terutamanya melihat kerja keras sahabat-sahabat seperjuangan di Johor sepanjang tempoh berkempen.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Arthur Chiong Sen Sern, 32 tahun, yang berjaya diberikan mandat oleh rakyat di Bukit Batu," katanya lagi.