Penyokong dan anggota DAP di seluruh negara diseru untuk kekal tenang dan bersabar menunggu keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Hal itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
"Ketika proses pembentukan kerajaan baru selepas PRU15 masih berjalan, DAP menyeru semua pihak untuk kekal bertenang dan sabar menunggu keputusan muktamad daripada DYMM Yang Di-Pertuan Agong.
"Proses yang sedang berjalan ini adalah sesuatu yang baru untuk negara kita namun ia adalah suatu proses yang biasa yang perlu dilalui dalam sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster dalam keadaan di mana tidak ada satu parti atau gabungan memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau memelihara keamanan dan keharmonian adalah sesuatu yang paling penting bagi memastikan Malaysia terus aman dan damai.
"DAP akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara dan mempertahankan Keluhuran Perlembagaan Malaysia.
"DAP juga menyeru semua pihak dan mengarahkan semua anggota DAP supaya sentiasa menjaga keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa
"Keamanan dan kedamaian di kalangan masyarakat kita mesti dipelihara dalam meraikan proses demokrasi yang semakin subur di negara kita," katanya lagi.
Commentaires