top of page

Kejujuran sokongan ulama Pas terhadap PMX amat dihargai - Ust Ahmad Awang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 3
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Ungkapan jujur ulama yang berlainan mazhab politik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) amat dihargai kerana budaya politik di negara ini yang amat jarang mengiktiraf kebaikan pihak lawan.


Hal itu diungkapkan mantan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang (gambar) yang menyifatkan ucapan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Tuan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah baru baru ini mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sebagai satu kenyataan jujur dan spontan yang datang daripada hati seorang ulama tulen.


Menurut Ahmad, tidak mengejutkan apabila Sheikh Wazir menyatakan bahawa beliau merupakan seorang ahli Pas kerana beliau pernah rapat dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, termasuk memainkan peranan penting dalam majlis-majlis doa dan keselamatan.


"Saya ikuti ucapan beliau dari awal sampai akhir, yang disebarkan meluas itu. Ucapan tersebut jelas bukan dibuat-buat. Beliau bercakap secara spontan, menceritakan bagaimana beliau mengenali PMX sejak zaman belajar di Pakistan," katanya kepada Suara Keadilan.


Ahmad turut menjelaskan bahawa Sheikh Wazir mengenali Anwar Ibrahim sejak pemimpin itu membawa sumbangan untuk pelajar-pelajar ASEAN di luar negara, termasuk dari Malaysia dan Indonesia. Perkenalan itu, menurutnya, berlanjutan selama 13 tahun dan mencerminkan hubungan yang kukuh.


"Ucapan Sheikh Wazir sangat jujur. Dia mengakui dirinya orang Pas, tapi tetap mampu menyampaikan penghargaan kepada Anwar dengan penuh keikhlasan. Sikap seperti ini, ulama yang berpegang kepada prinsip tetapi tetap adil dan berani menyatakan kebenaran, sangat sukar ditemui," katanya yang merupakan Penasihat Umum Parti Amanah Negara pada waktu ini.


Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata bahawa pengalaman beliau selama hampir 40 tahun dalam Pas menunjukkan bahawa adalah jarang untuk seseorang yang berbeza fahaman politik untuk bercakap dengan keikhlasan seperti yang ditunjukkan oleh Sheikh Wazir.


"Biasanya kalau seseorang itu dalam Pas dan berjumpa dengan pihak yang berlainan pandangan, agak sukar untuk dia bercakap ikhlas dan terbuka. Tapi Sheikh Wazir membuktikan sebaliknya," ujar beliau.


Sebelum ini, ucapan Sheikh Wazir yang menyentuh hubungan peribadinya dengan PMX serta penghargaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri telah mencuri perhatian ramai.


Beliau dalam ucapannya pada program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya pada 19 Julai lalu menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mahu Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dikekalkan.


Beliau berkata pihaknya akan sentiasa berada di belakang Perdana Menteri dan sedia membantu dalam apa jua rintangan dihadapinya semasa mentadbir Malaysia.


"Sokongan kita (ulama) penuh kepada pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. InsyaAllah, kita berada di belakangnya (Anwar).


"Semua rintangan dan cabaran yang berlaku di negara ini dapat diselamatkan. Malaysia diselamatkan, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri dapat diselamatkan," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page