Kejadian bunuh di sekolah: Krisis nilai makin serius, tangani bersama - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Insiden pembunuhan tragis pelajar perempuan oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya semalam menggoncang nurani masyarakat — menandakan krisis nilai yang semakin meruncing di kalangan generasi muda.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, kejadian ini bukan sekadar soal kesalahan individu, tetapi mencerminkan kegagalan bersama dalam membentuk jiwa dan moral generasi baharu.
"Kita sedang berdepan dengan krisis nilai yang serius. Gejala buli, sikap suka menghina dan hilang rasa empati sudah menjadi budaya harian. Gejala moral ini menular secara perlahan, namun sangat merosakkan.
"Anak-anak kita membesar dalam dunia yang pantas, penuh tekanan sosial. Mereka kehilangan sentuhan kemanusiaan dalam dunia sebenar, bijak teknologi, tetapi miskin emosi. Cerdas dalam akademik, tetapi rapuh dalam nilai kemanusiaan," katanya dalam kenyataan.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN berkata, sudah tiba masa agar usaha pembentukan sahsiah dan moral di sekolah di nilai semula dengan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, keluarga dan komuniti dilaksana secara serentak.
Sementara masyarakat diseru melihat semula asas pembentukan insan — bermula di rumah, di perkuat di sekolah, dan disemai dalam komuniti.
"Pendekatan nasional terhadap isu buli dan keruntuhan moral pelajar bukan sekadar kempen sementara, tetapi gerakan berterusan yang melibatkan semua kementerian, agensi dan masyarakat," jelasnya.
Beliau menegaskan keperluan memperkukuh program bimbingan dan intervensi awal di sekolah dengan pasukan sokongan emosi yang berfungsi sepenuhnya, bagi memastikan murid menerima bantuan pada peringkat awal.
Pada masa sama, pendekatan disiplin juga perlu diimbangi dengan pendidikan nilai agar ketegasan disertai unsur pemulihan, bukannya hukuman semata-mata.
Beliau turut menekankan pentingnya mengembalikan peranan ibu bapa sebagai pendidik utama dalam pembentukan sahsiah anak-anak, di samping memperkasa literasi emosi dan empati digital dalam kalangan pelajar bagi menangani cabaran semasa dunia maya.
"Pemulihan nilai mesti menjadi gerakan nasional, bukan kempen bermusim. Diam terhadap isu ini adalah bentuk pengabaian paling berbahaya.
"Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia yang berdaya, maka jiwa itu harus kita sembuhkan mulai hari ini," ujarnya.









Comments