
Filem Anwar: The Untold Story mendapat ulasan panjang lebar daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi usai sesi tayangan perdana di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur.
Bagi Anwar, sosok utama yang diceritakan dalam filem itu, kerja lakonan dan pengarahan filem tersebut amat baik dan hebat.
"Penceritaannya tentulah kepintaran dan kehebatan sutradara (pengarah) dan pelakonnya yang saya anggap hebat luar biasa.
"Saya sukar mengulas kerana ada episod kita mahu lupakan kisahnya, menyakitkan dan menyedihkan, terutama beban itu tertanggung kepada Azizah dan anak anak serta rakan rakan," katanya.
Berkenaan lakonan pemeran utama filem berkenaan Farid Kamil, Anwar menganggap beliau melakukan satu kerja yang teliti dan amat berkualiti kerana berjaya menjiwai watak sebenar dirinya dalam hal hal menyangkut emosi.
"Saya sukar nak nilai tetapi penampilannya, gayanya, dia ambil sedaya upaya untuk mirip saya
"Lakonanya sangat baik terutama dalam keadaan sukar, saya marah atau saya sakit, dia lakukan dengan baik," ujarnya.

Ditanya apakah jalan cerita tersebut mengesankan, Anwar berkata, sebagai manusia biasa terdapat emosi tertentu pada adegan adegan yang sukar dilupakan, yang diceritakan dalam filem berkenaan benar benar menyentuh hatinya.
"Sebagai orang yang diceriterakan tentunya saya dan Wan Azizah tersentuh. Jalan cerita itu betul dan bukan direkayasa. Banyak dialog itu walaupun tidak 100 peratus dalam ingatan saya, tetapi isu dibangkitkan itu benar.
"Peristiwa puluhan tahun disingkatkan kepada sejam lebih itu sudah tentunya tidak mudah. Ini hanya boleh dilakukan dengan kepintaran dan pengalaman rakan rakan membantu (menulis) skrip juga sinematografinya sangat baik," katanya.
Presiden KEADILAN itu turut mengulas mengenai kebebasan berkarya. Katanya, beliau memberi kebebasan kepada pasukan penulis skrip dan pengarahan filem untuk berkreativiti dan tidak mengedit mana mana bahagian.
"Kita berikan hak untuk menerbit dan sutradara bebas. Jalan cerita dia interview ramai orang tetapi akhirnya ini hasil seni yang kita berikan ruang agak bebas, saya tidak cadang untuk edit apa apa.
"Kerana saya percaya dalam hal pembikinan filem, hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan," katanya lagi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengarah terbaik Festival Filem Indonesia 2008, Viva Westi kerana menghasilkan filem yang begitu bermutu.

Mengenai terdapat dialog keIndonesiaan, bagi Anwar, penonton akan memahami suasana pembikinannya kerana pada ketika itu Malaysia bukan sebuah negara bebas dan penggambaran hampir 100 peratus dilakukan di Indonesia.
Filem Anwar: The Untold Story menceritakan sebahagian perjalanan hidup tokoh reformasi tersebut pada era 1990an menghadapi rejim mengamalkan kronisme dan nepotisme sehingga beliau disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Filem tersebut dibintangi pelakon utama Farid Kamil sebagai Anwar, Hasnul Rahmat (Dr Mahathir Mohamad), Acha Septriasa (Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet Pagau (bapa Anwar).