Oleh: Helmi Mohd Foad
Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha pada Jumaat lalu jelas menunjukkan bahawa bidang kuasa institusi kehakiman dan perundangan syariah di negara ini tetap terpelihara dan terus diperkasakan.
Ketua Biro Hal Ehwal Syariah (BHES), AMANAH Selangor, Azrulkhakim Suradi berkata, penghakiman berkaitan bidang kuasa perundangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu perlu dihormati oleh semua pihak.
"BHES AMANAH Negeri Selangor percaya dasar dan amalan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman telah terserlah dan terlaksana pada era Malaysia Madani hari ini melalui kes ini (Nik Elin) dan beberapa kes yang lain sebelumnya di Mahkamah Sivil," katanya dalam satu kenyataan.
Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam penghakiman majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tunku Maimun Tuan Mat pada 9 Februari lalu memutuskan 16 Sekyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dianggap tidak sah kerana digubal di luar bidang kuasa DUN.
Azrulkhakim berkata, prinsip berpegang kepada Perlembagaan dan pemisahan kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah itu juga dibuktikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 5 Februari lalu menolak permohonan seorang wanita berusia 34 tahun untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkannya keluar daripada agama Islam.
Kata beliau kes seumpama itu turut diputuskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang apabila hakim menolak permohonan seorang mualaf berusia 57 tahun untuk keluar meninggalkan Islam dan kembali kepada agama asalnya iaitu Kristian.
"Dalam keputusannya pada awal Ogos 2023, hakim telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara itu kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan Mahkamah Syariah bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan keluar agama Islam dan aspek agama Islam yang lain," ujarnya.
Tambah beliau kedua-dua penghakiman kes itu telah memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa walau apa parti yang memerintah, sistem kehakiman tetap berpegang kepada fakta yang selari dengan Perlembagaan Persekutuan tanpa dibayangi dan dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.
Sementara itu, jelas Azrulkhakim, keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan petisyen Nik Elin pula merupakan satu isyarat jelas kepada pihak berkuasa agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri untuk memastikan penggubalan undang-undang Islam dilaksanakan mengikut lunas dan peruntukan perlembagaan.
Dalam pada itu, Azrulkhakim berkata BHES Amanah Selangor memuji komitmen kerajaan Perpaduan dalam isu ini dengan menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta menjadikan usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah menjadi agenda utama.
"Tambahan pula Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah berkenan menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang- undang Islam.
"Tindakan proaktif ini dilihat mampu membawa keharmornian antara undang-undang sivil dan Syariah apatah lagi ia mendapat dokongan penuh Majlis Raja-Raja Melayu," ujarnya.
Comments