Kedua dua calon timb presiden punya keupayaan, rekod masing masing
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cabaran dalam kempen merebut posisi nombor dua parti ditempuh dengan baik oleh kedua dua calon timbalan presiden KEADILAN.
Hal itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan, Datuk Fahmi Fadzil kepada media usai program siri Jelajah Kita KEADILAN zon utara di sebuah hotel, di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Katanya, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai cara unik menyampaikan visi masing-masing kepada perwakilan menjelang pemilihan parti 23 Mei nanti.
"Saya percaya ramai anggota sudah mengenali mereka.. saya rasa untuk kedua-dua ini (Nurul Izzah dan Rafizi) tak perlu sebut apa pun, dan kita boleh tahu berdasarkan 'track record' masing-masing.
"Saya lihat kedua-dua mereka ada teknik tersendiri untuk menyampaikan visi kepada perwakilan.
"Ada yang menggunakan statistik, yang menggamit memori, berhujah menggunakan paparan slaid dan ada juga yang membina semangat perjuangan," katanya.
Ditanya mengenai peranan yang akan dimainkan oleh calon yang tidak memenangi posisi selepas pemilihan ini, beliau berkata, kedua-duanya penting kepada parti dan mempunyai ketokohan tersendiri.
"Mereka akan kembali ke peringkat akar umbi untuk terus menggerakkan dan membantu parti.
''Dalam KEADILAN, kita ada satu trend iaitu mereka yang boleh membantu parti dan pimpinan merasa yakin terhadap (kemampuan) mereka, akan dilibatkan dalam apa jua cara atau jawatan.
''Yang penting kita mampu memberikan kesan positif terhadap persiapan parti menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti,'' katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyifatkan sesi pemilihan kali ini jauh lebih baik dan berkesan berbanding sebelumnya dan tidak ada sebarang insiden keganasan atau boleh mencemarkan imej parti pada sepanjang pemilihan peringkat cabang lalu.