top of page

Kecekapan PDRM, kelengkapan M'sia tarik perhatian dunia, raih keyakinan pelabur

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 minute ago
  • 3 min read

DS Anwar merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Selangor
DS Anwar merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, Selangor

Oleh: Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mempunyai potensi menarik pelaburan lebih besar susulan perhatian dunia apabila melihat kecekapan pasukan keselamatan dan kelengkapan prasarana negara ketika menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.


Perdana Menteri berkata Presiden Donald Trump sendiri meminta kebenaran mahu berjumpa dengan Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap pasukan keselamatan yang membanggakan.


"PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang menunjukkan kecekapan masa lawatan-lawatan Premier Li Qiang, Presiden Donald Trump yang menyebabkan mereka kagum bukan sahaja dengan prasarana tetapi dengan kecekapan, sehingga Trump minta kebenaran hendak jumpa Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap pasukan keselamatan kita yang sangat membanggakan. Jadi yang saya tekankan di sini, ini kerja pasukan.


"Ini kerana perhatian baik. Dan tentunya ini kerangka kerja yang dilakukan oleh pasukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di Cyberjaya hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan pihaknya baru sahaja menerima kujungan satu kumpulan pelaburan dari New York yang agak besar, di antara terbesar di dunia.


"Datang memang ada pelaburan awal, tapi sekarang dia rasa dengan perhatian dunia dan kejayaan-kejayaan pasukan kita keseluruhannya, MITI, Kementerian Luar dan semua yang terlibat termasuk pasukan keamanan," katanya.


Terdahulu Anwar menekankan bahawa kerajaan perlu memastikan prasarana negara lengkap dan pelaksanaannya cekap bagi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur global, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor.


Perdana Menteri berkata keupayaan negara menarik pelabur bukan hanya bergantung kepada kestabilan politik, tetapi juga kepada perancangan dasar yang jelas serta pelaksanaan yang efisien.


"Kita ada National Semiconductor Strategy. Untuk menarik pelabur, negara mesti aman, sistem politik mesti stabil. Tetapi yang juga penting ialah merangka perancangan sama ada pelan induk industri atau strategi semikonduktor yang memberi maklumat dan menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh negara," katanya.


Anwar berkata walaupun Malaysia kini mendapat perhatian pelabur antarabangsa, peluang tersebut datang bersama tanggungjawab besar untuk memastikan pelaksanaannya cepat dan berkesan.


"Tidak banyak negara yang mendapat perhatian seperti kita peroleh sekarang. Ini disebut kesempatan dan peluang. Tetapi bila opportunities datang, tanggungjawab kita ialah mengisi ruang itu. Dasar harus jelas dan cabarannya ialah efficient execution, pelaksanaan yang pantas dan cekap," ujarnya.


Menurut Perdana Menteri, kerajaan mesti berani meninggalkan budaya lama yang terlalu selesa dan bergerak dengan pantas untuk melaksanakan projek strategik nasional.


"Kita mewarisi satu keadaan lama yang kadang-kadang masuk kategori budaya selesa. Negara aman, ekonomi bertahan, keadaan lumayan. Itu yang disebut culture of contentment or complacency


"Ini cabaran kepada kita semua – MITI, Kerajaan Negeri Selangor, Cyberjaya tetapi alhamdulillah, dengan kepantasan pelaksanaan dan kejayaan menarik pelabur, kita menunjukkan langkah yang meyakinkan," katanya.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), serta agensi Cyberview atas kejayaan membangunkan IC Design Park 2 dengan kerjasama sektor swasta dan pelabur antarabangsa.


"Tidak banyak negara boleh ada IC Design Park 1 dan 2. Kalau kadar pembangunan seperti sekarang terus meyakinkan, saya percaya Kerajaan Negeri Selangor perlu mula memikirkan IC Design Park 3," katanya.


Dalam pada itu, Anwar menjelaskan daya tarikan pelabu juga bergantung kepada ketersediaan tenaga mahir tempatan.


"Kita boleh sediakan prasarana dan insentif, tetapi yang paling penting ialah melindungi kepentingan negara dengan melahirkan tenaga mahir tempatan yang lengkap dan terlatih," tegasnya.


Beliau menekankan keperluan memperkukuh ekosistem semikonduktor dengan mempercepat pembinaan pusat penyelidikan dan pembangunan serta melahirkan lebih ramai tenaga tempatan melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran.


"Sebab itu saya ucap terima kasih kepada anak-anak muda yang cergas dan pintar yang menyertai program latihan di sini. Wajah-wajah mereka menunjukkan semangat dan keyakinan. Saya salute mereka," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page