Kebun Dapur Jamawi: Idea Berimpak Besar Untuk Rakyat Marhaen
- Suara Keadilan
- 33 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Saya tidak kenal beliau. Saya tahu Datuk Jawawi Jaafar (DJJ) ada kebun durian. Itu sahaja.
Tetapi apabila DJJ (sekarang Exco Pertanian Sabah) bercadang menggerakkan projek #kebundapur di DUN Malalap, saya sedar bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang perlu diberikan perhatian.
Ideanya nampak kecil tetapi berimpak besar.
Apabila semua orang bersetuju menanam sawi, bayam, cili, peria, pandan, serai, bunga kantan, sirih, pisang, buah pelaga, nangka, avokado dan durian belanda; membela ayam kampung dan kambing; menternak talapia dan ikan keli, ia membantu mengurangkan kos sara hidup.
Hal ini bertepatan dengan Modul ABCD atau Asset-Based Community Development yang sudah diamalkan beberapa dekad di Eropah dan Thailand.
Industri komuniti terancang
Industri kampung kecil-kecilan itu boleh menjadi industri besar apabila dilakukan oleh komuniti secara terancang.

Jabatan Pertanian mungkin boleh memberikan benih dan kursus. Orang kampung mengusahakannya secara kecil-kecilan. FAMA dan peraih boleh bergabung untuk membeli dan memasarkannya semula.
Satu kampung tanam sayur dan herba, kampung lain ternak ikan; manakala kampung lain menternak ayam dan lembu.
Mungkin peruntukan Sejati Madani RM100,000 untuk satu kampung boleh dimanfaatkan. Jika ada 50 kampung di Malalap, jumlahnya sudah RM5 juta.
Saya percaya orang kita bukan tidak pandai menanam dan menternak, tetapi pening kepala bab pemasaran.
Sebab itulah cadangan DJJ untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil tani amat penting.
Pemasaran adalah nadi perniagaan. Ia boleh diusahakan dengan mewujudkan rangkaian pemasaran di seluruh DUN Malalap, bahkan seluruh Sabah.
Pengeluar makanan signifikan
Jika ia berjaya dilaksanakan, Sabah boleh menjadi pengeluar makanan yang signifikan, sekurang-kurangnya tidak lagi bergantung kepada produk dari luar.

Inilah yang dinamakan "keterjaminan makanan" dan ia sangat membantu mengurangkan kos sara hidup.
"Great people think about ideas, but Great Leader know how to implement the ideas."
Saya yakin pengalaman DJJ dalam bidang pertanian selama 14 tahun dapat membantu rakyat Sabah merealisasikannya.
Kita dahagakan pemimpin altruistik yang mementingkan rakyat seperti DJJ.
Kita sudah amat letih melihat gelagat pemimpin politik yang banyak cakap tapi tak punya kemampuan membantu rakyat.
Datuk Jamawi Jaafar adalah pemimpin masa depan yang perlu disokong dan dicontohi. Pemimpin hebat tahu cara melaksanakannya, bukan sekadar beretorik kosong!





