Kebocoran kali kedua data warganegara Malaysia tidak sewajarnya berlaku memandangkan kerajaan dikatakan telah mengambil langkah khusus bagi menanganinya sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, kebocoran data tersebut perlu disiasat segera untuk mengetahui puncanya serta mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terlibat.
"Sejumlah 22.4 juta data rakyat Malaysia kini cuba dijual di sebuah forum atas talian dengan harga lebih dari RM40,000
"Portal Amanz.my, Lowyat.net serta Soyacincau.com melaporkan ini adalah kebocoran kali kedua setelah kebocoran kali pertama yang juga cuba dijual dalam pasaran gelap melibatkan kira-kira 4 juta data rakyat Malaysia pada September 2021 lalu," katanya.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan KEADILAN pusat itu tertanya tanya apakah tindakan telah diambil ke atas pihak yang melakukan kebocoran data kali pertama kerana kes tersebut tidak ditimbulkan lagi.
Katanya, tanpa menunjukkan hukuman keras ke atas penjenayah yang membocorkan data maka tiada pihak yang akan berasa takut dalam melakukan pembocoran atau penggodaman seterusnya.
"Saya sangat musykil samada kebocoran pada September 2021 telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak-pihak serta agensi yang terlibat dalam memastikan keselamatan data-data ini, memandangkan kebocoran pada kali ini adalah lebih besar serta lebih berani.
"Salah sebuah portal yang mendedahkan kebocoran ini turut memuatkan tangkap layar bahawa penjual data turut mendedahkan maklumat Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
"Bagi saya ini bukan sahaja cubaan mengaut keuntungan dari data-data sulit yang dicuri bahkan penggodam-penggodam ini juga seolah-olah mencabar pihak berkuasa yang kelihatan lemah dalam mengatasi masalah kebocoran dan kecurian data yang berulang ulang," katanya lagi.
Justeru, Shamsul menyeru Menteri Dalam Negeri agar segera menyiasat dan menyelesaikan masalah yang melibatkan kebocoran data serta memaklumkan secara terbuka kepada umum langkah-langkah penambahbaikan yang telah dan akan diambil.
コメント