top of page

Keberanian politik, tadbir urus baik punca kejayaan dasar kerajaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read
DS Anwar berucap pada Permodalan Nasional Berhad (PNB) Knowledge Forum 2025 di Kuala Lumpur
DS Anwar berucap pada Permodalan Nasional Berhad (PNB) Knowledge Forum 2025 di Kuala Lumpur

Oleh: Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keberanian membuat keputusan dan amalan tadbir urus yang baik menjadi kunci utama kejayaan dasar-dasar kerajaan serta usaha memperkukuh ekonomi negara.


Perdana Menteri berkata, setiap dasar yang digubal kerajaan memerlukan kesepakatan Jemaah Menteri serta komunikasi yang berkesan agar mesej dan tujuan dasar itu difahami oleh rakyat.


"Jangan iri kepada saya kerana ini menuntut keberanian dan konsensus luas dalam Kabinet serta komunikasi yang berkesan.


"Saya berharap PNB dan Khazanah dapat membantu kerajaan dalam hal ini apabila dasar itu betul, ia juga perlu disampaikan dengan berkesan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Permodalan Nasional Berhad (PNB) Knowledge Forum 2025 di Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Pengerusi PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menumpukan kepada pengukuhan tadbir urus bagi memastikan setiap dasar mampu dilaksanakan dengan berkesan dan membawa manfaat kepada rakyat.


"Tanpa tadbir urus yang baik, saya tidak fikir dasar lain akan mampu berjalan," katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua kementerian serta pasukan keselamatan yang bersiap sedia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dan ASEAN Plus minggu ini.


Beliau turut memuji komitmen Malaysia dalam memacu agenda ASEAN yang menekankan keterangkuman dan kemampanan, termasuk pelaksanaan projek sambungan tenaga (power grid) serantau.


"Terima kasih kepada PNB, KIGIP, TNB dan PETRONAS atas penglibatan dalam projek grid tenaga dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia, Singapura, Sarawak, Sabah, Filipina dan Indonesia," katanya.


Dalam pada masa itu Anwar menegaskan ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia bukan sekadar medan pujian sesama negara anggota tetapi wadah memperkukuh dasar dan sistem transformasi yang membawa manfaat sebenar kepada rakyat rantau ini.


"Ini bukan 'kelab kekaguman bersama' (mutual admiration club) tetapi platform untuk kita membincangkan dasar, hala tuju dan pelaksanaan sistem transformasi serantau yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page