top of page

Kebebasan media: Tiada pengamal media ditangkap polis - Fahmi



Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan Perpaduan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.


Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata sehingga kini tiada seorang pun wartawan atau pihak media yang telah ditahan atau ditangkap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Selain itu, tidak ada satu akhbar atau syarikat media yang dipaksa tutup oleh pihak berkuasa. Ia selaras dengan jaminan kebebasan media dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri," katanya menerusi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan Kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara.


Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hanya menjalankan tanggungjawab dan fungsinya berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).


"Tanggungjawab perundangan utama MCMC adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang perlakuan atau percubaan melakukan perlanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia.


"MCMC mempunyai autoriti dan wewenang untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelek, mengancam dan berunsur fitnah.


"Oleh itu, tindakan yang diambil oleh MCMC selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta 588 dan bukanlah untuk menyekat kebebasan media tetapi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat," ujarnya.


Justeru, bagi memastikan pelaporan benar dan dipatuhi, Fahmi menyarankan pengamal media memuat naik kod kandungan yang disediakan MCMC bagi prosedur kawalan kendiri.


"Pendekatan ini bertujuan untuk memupuk kreativiti, inovasi dan pertumbuhan sihat dalam industri dengan mengikuti garis panduan yang lebih seimbang dan bebas daripada sebarang manipulasi serta maklumat yang kurang tepat," jelas Fahmi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page