top of page

Kebakaran Sepanggar: Kerajaan percepat ganti dokumen rasmi penduduk

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan mempercepat proses pengeluaran semula dokumen kewarganegaraan rasmi bagi semua mangsa kebakaran di tiga kampung di Numbak di Sepanggar pada Ahad lalu.


Menurut Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar), pelbagai bentuk bantuan lain yang diperlukan turut dipergiat dan disalurkan secara berperingkat bagi meringankan beban mangsa.


"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan mengenai kejadian kebakaran yang memusnahkan 202 rumah melibatkan 110 ketua isi rumah di Kampung Numbak.


"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memaklumkan kesemua mangsa terkesan telah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara," katanya dipetik laporan media.


Kebakaran membabitkan Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama pada awal pagi Ahad itu mengorbankan tiga kanak-kanak.


Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pejabatnya telah menyalurkan bantuan awal sejurus kejadian kepada keluarga terjejas.


Ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di lokasi kebakaran, beliau turut menyatakan komitmen akan memberi perhatian khusus kepada anak-anak mangsa yang masih bersekolah bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas akibat kehilangan pakaian seragam, buku teks dan kelengkapan persekolahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page