Kebakaran paip gas: KPT beri bantuan kepada pelajar IPT
- Suara Keadilan
- Apr 3
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan bantuan kepada empat pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dan menjadi mangsa dalam insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights, kelmarin.
Menurut satu kenyataan, KPT telah menyelaras misi bantuan di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan juga melalui Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) yang melibatkan sumbangan keperluan asas, psikososial, perubatan dan sukarelawan.
"Sumbangan sebanyak RM2,000 oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) (diberikan) kepada setiap empat orang pelajar IPT yang terkesan.
"Pelajar yang terkesan ini juga diberi kelonggaran untuk lewat melakukan pandaftaran bagi semesta baharu dijangka pada 7 April 2025.
"Pengagihan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, kit kebersihan diri dan keperluan asas akan diberi kepada kesemua mangsa di Pusat Pemindahan Sementara," kata kenyataan itu.
KPT juga, menurut kenyataan, akan mengaturkan sesi kaunserling dan sokongan psikologi kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan.
Juga menyediakan perkhidmatan klinik bergerak menerusi Konsortium Hospital Universiti Awam (KHUAM) kepada komuniti yang terjejas bagi memberikan rawatan kecemasan, pemeriksaan kesihatan dan sokongan perubatan kepada mangsa kebakaran yang memerlukan perhatian segera.
"KPT bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan (lanjut) kepada mangsa terutama kepada pelajar institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas," kata kenyataan itu lagi.
KPT berharap mangsa mangsa yang ditimpa musibah tabah menghadapi dugaan dan ujian.
コメント