Kebakaran paip gas: Baik pulih rumah berjalan lancar, dahului jadual
- Suara Keadilan
- Jul 9
- 2 min read

Proses baik pulih dan pembinaan semula 81 rumah musnah serta 138 yang rosak akibat tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berada pada tahap 22 hingga 24 peratus.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja membabitkan dua kawasan iaitu Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru itu berjalan lancar, malah mendahului jadual asal.
"Bagi Taman Putra Harmoni, sebanyak tiga unit dibina semula manakala 46 unit akan dibaiki. Baki 46 unit sedang dalam proses akhir ujian titik retak dan struktur.
"Bagi Kampung Kuala Sungai Baru pula, 11 unit akan dibina semula dan enam unit akan dibaik pulih," katanya dipetik pada sesi penerangan insiden Putra Heights di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.
Menurut beliau, proses dilaksanakan menerusi peruntukan RM40 juta yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan. Dana tambahan RM6 juta turut diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf infrastruktur awam.
"Untuk Kampung Kuala Sungai Baru, kerja baik pulih dijangka siap pada Oktober ini, manakala bagi Taman Putra Harmoni, Putra Heights pula diberikan tempoh sehingga Jun 2027," jelasnya.
Sementara itu beliau memaklumkan bahawa, pihaknya melanjutkan masa sehingga 27 Oktober ini untuk penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan menyampaikan dokumen tuntutan baik pulih melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang dilantik bagi memudah cara proses tersebut.
Kerajaan Negeri juga jelasnya telah mencadangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya kos siling baik pulih rumah ditingkatkan daripada RM30,000 kepada RM60,000 dengan mengambil kira kos jubin bumbung dan penukaran kelengkapan seperti tangki air.
"Selain itu, kita berada dalam proses akhir untuk menetapkan penduduk yang belum menduduki rumah masing-masing supaya diberikan wang sewa tambahan dan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," tambahnya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan sehingga RM2,000 bagi menampung kos sewa rumah bagi setiap penduduk yang terpaksa berpindah di kediaman lain sementara kerja pembaikan dan pembinaan semula selesai.
Bantuan sehingga tempoh 12 bulan itu bertujuan memastikan mangsa mendapat tempat perlindungan wajar sehingga kediaman mereka siap sepenuhnya.
Kommentare