Kebakaran paip gas: 190 rumah, 159 kenderaan rosak
- Suara Keadilan
- Apr 2
- 1 min read

Kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putera Heights Subang Jaya semalam menyebabkan kira kira 190 kediaman dan 159 pelbagai jenis kenderaan termasuk 11 motosikal mengalami kerosakan setakat petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata, kebakaran bermula jam 8.10 pagi itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak sempat mengalihkan kenderaan mereka dan mengalami kerosakan ringan atau hangus dijilat api.
"Setakat jam 3.40 petang tadi, Komander Operasi di lapangan melaporkan kerja pemadaman masih diteruskan dan api (di kawasan perumahan) hampir padam.
"Setakat ini sebanyak 190 unit rumah, 148 unit kereta dan 11 unit motosikal dikenal pasti mengalami kerosakan yang pelbagai akibat kebakaran dan haba panas," katanya dalam kenyataan.
Wan Razali berkata, kerja pembersihan dan pemeriksaan secara menyeluruh oleh pasukan bomba ke atas semua kediaman yang terjejas sedang dilakukan.
Bagaimanapun, pihak bomba akan mengumumkan angka terbaharu sekiranya terdapat pertambahan mangsa dan harta benda yang mengalami kerugian.
Comments