Kebajikan mangsa kebakaran Kampung Numbak diutamakan - Mustapha


Kebajikan lebih 200 keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran merentasi tiga kampung di Numbak bakal diberi keutamaan sepenuhnya.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bantuan awal serta keperluan asas sudah disalurkan pihaknya kepada keluarga terjejas.
Manakala kerjasama rapat antara agensi persekutuan dan negeri sedang digerakkan bagi membolehkan pengurusan pasca-bencana termasuk sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak kemanusiaan turut akan diselaraskan.
"Kita akan pastikan kebajikan mangsa diberi perhatian. Mereka yang memerlukan tempat perlindungan digalakkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Likas dan Damai, terutama yang tidak mempunyai keluarga berdekatan.
"Bagi mereka yang memilih tinggal bersama keluarga atau saudara-mara, mereka juga perlu mendaftar dengan urus setia supaya kita mengetahui jumlah sebenar mangsa dan bantuan dapat disalurkan," katanya dipetik laporan media.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ditemui pemberita selepas menyantuni mangsa serta melawat lokasi kebakaran di Kampung Numbak, Sepanggar, pada Ahad.
Kebakaran awal pagi semalam memusnahkan lebih 200 rumah membabitkan Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, tiga kanak-kanak dilapor terkorban dalam bencana tersebut.
Sementara itu menurut Mustapha, satu pusat operasi sementara akan diwujudkan di lokasi bagi menyelaras keperluan kemanusiaan serta membantu proses pemindahan mangsa ke PPS.
Beliau turut menyatakan komitmen memberi perhatian khusus kepada anak-anak mangsa yang masih bersekolah bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas akibat kehilangan pakaian seragam, buku teks dan kelengkapan persekolahan.
"Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan supaya anak-anak ini tetap dapat bersekolah walaupun pakaian seragam dan peralatan sekolah mereka musnah dalam kebakaran.
"Pihak Parlimen Sepanggar turut akan menyalurkan bantuan awal kepada keluarga tiga kanak-kanak yang terkorban, termasuk membantu urusan berkaitan jenazah sekiranya diperlukan," jelasnya.
Mustapha sementatra itu merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pejabat ADUN Karambunai, Pejabat Parlimen Sepanggar serta semua pihak yang membantu mangsa.




Comments